Bahagia itu fitrah bagi setiap manusia. Semua orang inginkan kebahagiaan dalam hidup ini. Namun, ramai yang beranggapan bahawa bahagia itu hanya boleh dicapai setelah menjadi kaya-raya. Tidak! Bahagia itu bukan hanya dengan harta kekayaan semata-mata. Malahan, bahagia boleh datang walaupun dengan cara hidup sederhana bersama keluarga. Sederhana tidaklah bererti miskin. Sederhana ini membawa maksud anda tidak perlu terlalu bermewah-mewahan dalam setiap aspek kehidupan dan boros kerana ingin mengikut gaya hidup orang lain. Cukup dengan merasa bahagia itu sudah memadai. Menerapkan gaya hidup sederhana tidak akan menjatuhkan darjat mahupun martabat seseorang. Malahan, sebagai umat Islam anda haruslah menanam sikap sederhana dalam kehidupan, kerana ia adalah keutamaan yang penting dalam Islam. Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman.”(HR Abu Daud). Jadi, bersikap sederhanalah dalam segenap aspek kehidupan kerana ia memberi banyak pengaruh positif dan membawa kebahagiaan dalam kehidupan. Setiap orang sudah tentu mempunyai cara yang berbeza untuk meniti kehidupan yang sederhana. Mari kita teliti beberapa tip yang penulis kongsikan. Semoga ia bermanfaat dan boleh dipraktikkan dalam kehidupan anda. 1. Sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki“Alhamdulillah” merupakan ungkapan ringkas menunjukkan tanda syukur manusia kepada Allah SWT. Bersyukur menandakan pengakuan terhadap setiap kenikmatan yang diperolehi adalah pemberian daripada Allah SWT. Islam menggalakkan umatnya supaya sentiasa bersyukur dan memuji Allah SWT kerana Dia yang memberi ganjaran dan rahmat ke atas orang yang bersyukur dan memujinya. Pupuklah dalam diri anda untuk sentiasa bersyukur dengan setiap apa yang telah dikurniakan Allah SWT. Ingatlah bahawa hidup sederhana bersama keluarga juga merupakan satu nikmat, maka bersyukur dengan apa yang anda miliki sekarang dan kebahagiaan akan menyusul dengan sendirinya. 2. Jangan pernah membandingkan kehidupanSememangnya sikap suka membanding-bandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain sudah menjadi lumrah bagi sesetengah orang. Jangan suka membuat perbandingan kehidupan anda dengan orang lain kerana perkara seperti ini akan menjejaskan keharmonian rumah tangga anda dan akan wujud perasaan tidak merasa bahagia. Walaupun sebenarnya anda sudah mempunyai kehidupan yang baik. Ada kalanya manusia itu alpa bahawa setiap orang mempunyai kehidupan dan cara tersendiri untuk dihadapinya. Justeru itu, usahlah bersikap demikian dan laluilah perjalanan hidup anda dengan baik seperti yang anda mahu. 3. Tidak perlu berlebihan dalam menjalani kehidupanFirman Allah SWT dalam surah Al-Furqan ayat 67 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian”. Jelaslah ayat ini mengajak umat Islam supaya memilih kehidupan yang sederhana, tidak boros atau berlebihan dalam melakukan segala hal. Lantaran itu, hindarilah sikap boros dalam kehidupan, berpada-padalah dalam mengikut kata hati dan jalanilah kehidupan anda bersama keluarga anda mengikut kemampuan. 4. Hidup dengan cara sendiriUmum sedia maklum bahawa setiap orang mencipta bahagia dengan cara tersendiri. Sentiasa ingat dan letakkan dalam diri anda bahawa bahagia anda tidak sama dengan bahagia orang lain. Setiap orang berbeza cara dan perkara untuk membuat mereka merasa bahagia. Ada orang apabila semua ahli keluarga berkumpul, mereka merasa sangat bahagia. Ada juga apabila bersendirian, mereka merasa tenang dan bahagia. Setiap orang definisi bahagianya berbeza-beza. Hiduplah dengan cara anda sendiri. Tidak perlu meniru gaya ataupun cara hidup mereka kerana anda bahagia dengan cara anda. 5. Tidak perlu memikirkan pendapat orang lainTidak dapat dinafikan bahawa susah untuk tidak mempedulikan kata-kata orang. Semakin banyak anda fikir tentang pendapat orang lain semakin besar ia akan mempengaruhi kehidupan anda. Mengapa anda perlu hidup dengan mengikut pendapat orang lain, sedangkan itu kehidupan anda? Tidak salah untuk bersetuju dengan pendapat orang lain namun perlu diingat, bahawa bukan mereka yang menentukan hidup anda, sebaliknya anda sendiri yang menentukan baik buruk kehidupan anda. Lupakan saja pendapat mereka yang tidak bermanfaat untuk kehidupan anda, dan usah dituruti kehendak mereka kerana bukan mereka yang mencorakkan kebahagiaan dalam hidup anda. 6. Mempunyai perancangan kewangan yang baikWang bukanlah segalanya, akan tetapi dengan adanya wang semua hajat dapat dipenuhi dan ia merupakan elemen penting yang menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga. Benar bahagia tidak boleh dibeli dengan harta dan wang ringgit, namun demikian ia membantu dalam memenuhi keperluan asas keluarga anda. Dalam hidup ini tidak kiralah anda hidup bersendirian atau bersama keluarga, mempunyai perancangan yang baik dan rapi adalah sangat penting lebih-lebih lagi dalam aspek kewangan. Merancang kewangan buat keluarga adalah wajar dilakukan demi memastikan kehidupan akan datang berjalan lancar dan semuanya dalam keadaan terkawal. Pastikan juga perancangan yang dilakukan menggambarkan situasi kemampuan keluarga anda. Demikianlah 6 tip yang penulis telah kongsikan kepada anda untuk hidup secara sederhana dan ia boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian bersama keluarga anda. Selamat menjalani kehidupan yang sederhana!
0 Comments
|