Sumber: Lovepik.com Kepentingan Vaksin Apakah Vaksin? Vaksin ialah satu bahan ciptaan biologikal yang mengandungi antigen yang diperoleh dari sebahagian atau keseluruhan komponen virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Fungsi antigen di dalam vaksin adalah untuk merangsang sistem daya lawan terhadap jangkitan (imuniti) dalam tubuh yang menjadikan tubuh lebih kebal atau daya tahan terhadap jangkitan penyakit khusus. Imuniti atau imunisasi merujuk kepada proses yang mana seseorang itu memiliki daya tahan yang kuat terhadap penyakit-penyakit berjangkit tertentu melalui suntikan vaksin. Memudahkan? Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah berbentuk kombinasi atau campuran, iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan menjadi satu suntikan yang diberikan kepada kanak-kanak agar dapat imun terhadap pelbagai penyakit yang berbahaya dengan hanya satu suntikan vaksin. Ia menjadikan proses penyuntikan vaksin lebih senang, cepat dan kurang menyakitkan. Tambahan pula, melalui program imunisasi kebangsaan terhadap kanak-kanak yang dijalankan oleh pihak kementerian kesihatan menunjukkan bahawa vaksinasi berjaya mencegah penyakit-penyakit cegahan vaksin di seluruh dunia. Mengurangkan kadar Kematian dan Penyakit Pengambilan vaksin dapat mengurangkan kadar kematian (mortiliti) dan kadar penyakit (morbiditi) penduduk dunia dan dalam masa yang sama vaksin juga dapat meningkatkan kadar populasi di seluruh dunia terutamanya negara-negara yang menitik beratkan tentang penggunaan vaksin ini. Antara penyakit berjangkit berbahaya yang dapat diatasi atau dicegah melalui suntikan vaksin ialah tibi, difteria, pertussis (batuk kokol), tetanus (kancing gigi), polio atau poliomielitis (lumpuh saraf), hepatitis, campak, beguk, rubela, influenza dan sebagainya. Penyakit-penyakit tersebut adalah penyakit berbahaya dan mudah berjangkit antara satu sama lain. Dengan wujudnya vaksin ini, penyakit-penyakit tersebut dapat dikurangkan secara meningkat di dunia ini. Tambahan pula, dengan pelaksanaan program vaksinasi di seluruh dunia terutamanya di Malaysia dapat mengurangkan serta merta kadar penyakit cegahan vaksin di dunia ini. Sumber: Lovepik.com Bahaya Mengabaikan Vaksin
Pada tahun 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan lebih separuh kes kematian yang direkodkan tidak mempunyai imunisasi. Enam kes adalah kematian demam campak di mana semua kes tiada imunisasi dan lima kematian difteria di mana empat kes tiada imunisasi. Manakala 22 kematian batuk kokol (pertussis) direkodkan di mana 19 kes tiada imunisasi. Ini menunjukkan bahawa pengambilan vaksin untuk kanak-kanak dari awal kelahiran amat penting bagi mengurangkan kematian. Rekod ini membuktikan masyarakat masih tidak memandang serius tentang kepentingan vaksin. Sekiranya masyarakat mengambil peduli terhadap pengambilan imunisasi, maka penyakit-penyakit ini dapat dicegah sekaligus mengurangkan komplikasi yang boleh membawa kematian. Akhbar Berita Harian 23 FebuariFebruari 2019, telah melaporkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun satu bulan di Johor Bharu meninggal dunia akibat kegagalan multiorgan disebabkan jangkitan difteria kerana tidak pernah mengambil sebarang vaksin sejak lahir. Sebanyak 1,603 kes penolakan vaksin direkodkan di klinik-klinik kerajaan pada tahun 2016. Manakala pada tahun 2017 terdapat sedikit penurunan kes penolakan vaksin kepada 1,404. Menurut kenyataan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, hampir 1,600 bayi dikesan tidak mendapatkan suntikan imunisasi pada 2016, manakala pada 2015, seramai 1,500 bayi di negara Malaysia tidak mendapat suntikan vaksin. Beberapa tahun kebelakangan ini mencatatkan peningkatan kadar penyakit cegahan vaksin secara drastik. Sebagai contohnya, Malaysia mencatatkan sebanyak 891.8% peningkatan penyakit cegahan vaksin iaitu demam campak daripada 195 kes kepada 1,934 kes dalam tempoh lima tahun dari 2013 hingga 2017. Memandang Remeh Sikap segolongan masyarakat yang memandang remeh terhadap pengambilan vaksin akan mengundang bencana. Mereka beranggapan bahawa vaksin mengandungi bahan-bahan haram dan membahayakan kesihatan seperti DNA khinzir atau bahan kimia yang boleh menyebabkan penyakit yang lebih serius dan mempunyai kesan sampingan yang lebih memudaratkan. Walhal penolakan vaksin akan memberi kesan mudarat dan risiko yang besar terhadap daya tahan penyakit kanak-kanak. Pandangan Islam Terhadap Vaksin Dari aspek pandangan syarak pula, imunisasi merupakan satu jalan pencegahan. Pencegahan adalah perkara yang amat dituntut dalam Islam sesuai dengan kaedah Usul Fiqh. Tambahan lagi kesihatan individu merupakan tuntutan agama dan kehidupan yang memberi manfaat kepada seluruh umat manusia. Dalam isu ini, vaksin bukan lagi merupakan kehendak seseorang, tetapi sebagai ikhtiar dan menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya. Pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Sohana Abdul Hamid, dalam Journal of Social Sciences and Humanities mencadangkan bahawa dalam Islam memang pada dasarnya menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit. Tetapi jika terbukti akan keberkesanannya, maka adalah harus untuk kita gunakan dalam bidang perubatan bagi mencegah penyakit. Akibat Penolakan Vaksin Jika situasi penolakan vaksin ini berterusan, kemungkinan kematian yang boleh dicegah oleh vaksin akan terus meningkat di negara ini. Segala usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar penyakit cegahan vaksin ini akan menjadi sia-sia. Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati Pihak KKM harus mengambil langkah yang proaktif terhadap masyarakat dalam menitikberatkan akan kepentingan imunisasi terhadap penduduk di Malaysia supaya tahap kesihatan lebih terjamin dan bebas dari penyakit cegahan vaksin. Bak kata pepatah “mencegah lebih baik daripada mengubati”, seperti mana kita ketahui mencegah itu lebih baik sebelum terkena sesuatu yang lebih buruk dan lagi membebankan kehidupan kita.
0 Comments
|
AuthorIzzat Izzulfikar Adha bin Abdullah |