Takaful adalah satu konsep insurans yang berasaskan muamalat Islam yang berlandaskan syariah. Konsep di mana satu kumpulan yang saling bersetuju untuk menjamin antara satu sama lain apabila seseorang dalam kalangan mereka berhadapan dengan musibah seperti kemalangan. Hampir separuh daripada penduduk di Malaysia masih kurang kesedaran tentang manfaat pengambilan takaful yang dapat menjamin masa depan diri dan keluarga mereka. Hal ini terbukti, apabila kira-kira 85 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai sebarang perlindungan takaful ketika berlakunya kecemasan. Menurut Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Muhammad Fikri Mohamad Rawi, takaful adalah satu bentuk skim perlindungan yang boleh menjamin individu serta keluarga sekiranya ditimpa sebarang musibah atau hilang punca pendapatan. Setiap orang pastinya tidak menginginkan sebarang perkara buruk terjadi kepada dirinya. Namun begitu, kita tidak mampu untuk menjangkakan perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Musibah berlaku tidak mengenal siapa, usia, pangkat dan kedudukan. Oleh yang demikian, pengambilan takaful sebagai perlindungan masa hadapan adalah satu inisiatif yang bijak bagi setiap keluarga. Kos sara hidup di Malaysia yang semakin tinggi dari hari ke hari, menyebabkan semakin tinggi kos pembiayaan dan rawatan pesakit di hospital. Hal ini semestinya menjadi satu bebanan bagi individu yang tidak mempunyai wang simpanan yang cukup terutamanya keluarga dari golongan B40. Kos rawatan di hospital yang tinggi menyebabkan ada sesetengah keluarga yang terpaksa menjual barang peribadi mereka demi mendapatkan wang dengan segera. Satu kisah dipetik daripada akhbar Harian Metro tentang seorang bapa yang menghidap penyakit kanser usus sejak tahun 2018. Beliau terpaksa menjual sebahagian koleksi mainan Hot Wheels, Lego dan robot gundam untuk menampung kos perubatannya setiap bulan. Hal ini menjadi satu tekanan kepada dirinya yang sedang sakit dan dalam masa yang sama perlu mencari wang untuk meneruskan hidup. Langkah segera perlu diambil untuk membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia supaya memandang perkara ini sebagai suatu yang serius. Antara faktor kurangnya kesedaran tentang pengambilan insurans takaful untuk keluarga adalah disebabkan pengetahuan tentang kewangan yang rendah. Hal ini tertumpu kepada kelompok keluarga yang menetap di luar bandar dan yang berpendapatan rendah. Disebabkan mereka tiada pengetahuan asas tentang manfaat pengambilan takaful maka, mereka tidak dapat membuat penilaian yang baik terhadap produk takaful itu. Selain itu, masalah kewangan yang tidak stabil untuk menyara kehidupan seharian menambahkan lagi kesulitan mereka untuk membuat pembelian takaful. Masalah ini perlu diberi jalan penyelesaian agar setiap individu terjamin masa hadapan mereka. Pendek kata, melalui pendedahan tentang pengurusan kewangan yang baik kepada individu dan cara memilih produk takaful dengan harga yang berpatutan. Mengapa takaful ini penting bagi individu dan keluarga?Takaful merupakan satu bentuk perlindungan yang sangat penting untuk masa hadapan seseorang. Pendek kata, tidak semua individu mempunyai status kewangan yang stabil untuk membayar kos rawatan dan perubatan di hospital jika berlaku kemalangan. Ini juga boleh menjadi persediaan sekiranya berlaku musibah seperti kebakaran, kecacatan kekal atau hilang upaya untuk bekerja. Di samping itu, menurut ejen Takaful Prudential BSN, Farahin Hamid, takaful dapat membantu dari segi kewangan keluarga demi meneruskan kehidupan dan menyelesaikan segala hutang yang ditinggalkan oleh ketua keluarga atau penama. Apabila kita meninggal dunia, segala aset dan harta akan dibekukan dan akan melalui proses faraid. Jadi, untuk mencairkan aset tersebut waris perlulah melakukan hibah. Manfaat takaful Seterusnya, manfaat yang akan dinikmati oleh pencarum insurans takaful adalah mereka mampu menyediakan wang tunai dalam jumlah yang banyak dalam tempoh segera untuk kegunaan keluarga. Mereka juga dapat menjelaskan bil rawatan hospital yang tinggi dengan cepat dan mudah. Individu dan keluarganya juga dapat menerima rawatan yang terbaik dan selesa tanpa perlu memikirkan untuk membayar kos yang tinggi.
Kesimpulannya, menjadi pengguna takaful dapat memberi banyak manfaat kepada individu. Meskipun agak berat untuk mengeluarkan sejumlah wang pada setiap bulan namun begitu, Ia merupakan ikhtiar kita sebagai seorang muslim demi melindungi diri dan keluarga.
0 Comments
|