Perkembangan pesat teknologi internet dan media sosial telah mencetuskan fenomena transaksi jual beli dalam talian di seluruh dunia. Terdapat pelbagai laman dan aplikasi yang menawarkan perkhidmatan ini dengan menjual pelbagai jenis barangan. Antara laman sosial dan aplikasi jual beli dalam talian yang popular di negara ini adalah Lazada, Shopee, Zalora, 11th Street Malaysia, dan Ezbuy Malaysia. Semua transaksi yang diperlukan untuk membeli barangan yang dihajati boleh dilakukan melalui semua laman dan aplikasi tersebut. Aktiviti jual beli dalam talian didapati meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Situasi ini berlaku kerana pergerakan orang ramai untuk membeli barangan keperluan di kedai fizikal telah dihadkan. Memetik laporan Berita Harian baru-baru ini, kaji selidik oleh Commerce Asia Group of Companies mendapati, ekosistem teknologi dan penyelesaian data e-dagang menyaksikan pertumbuhan Volum Barangan Kasar (GMV) melonjak sebanyak 149 peratus dalam suku pertama 2020 sejak PKP bermula. Peningkatan pembelian secara dalam talian meningkat apabila rakyat mula membeli produk kesihatan dan kebersihan diri seperti bahan pencuci tangan, topeng muka dan banyak lagi seperti barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, pasta, biskut, susu formula dan banyak lagi. Selain daripada produk kesihatan dan keperluan harian, rakyat Malaysia juga membeli peralatan elektronik seperti webcam dan alat pembesar suara tanpa wayar, meja komputer riba dan meja kerja untuk meningkatkan produktiviti semasa bekerja atau belajar di rumah. Oleh kerana rakyat Malaysia banyak menghabiskan masa di rumah, mereka juga didapati mencari sistem hiburan rumah dan peralatan hiburan mampu milik seperti kad UNO, congkak, Playstation Plus, Sahibba, kolam renang angin dan banyak lagi. Ada juga yang membeli peralatan sukan seperti tikar yoga, tali lompat, dumbbell, dan raket untuk kekal aktif dan cergas semasa musim PKP. Peralatan dapur juga banyak dibeli seperti pengisar jus, periuk nasi, periuk tekanan, penggoreng udara dan pembuat roti. Hal ini kerana ramai yang tidak boleh keluar untuk bekerja sebaliknya menghabiskan masa di rumah untuk memasak. Memang mudah berbelanja secara dalam talian namun, jika tidak dikawal, kita mungkin terpaksa membayar harga lebih mahal daripada yang sepatutnya. Bagi mengelakkan masalah itu, terdapat beberapa tips yang boleh diamalkan :- 1.Gunakan kupon dan rebat tunai. Pengguna perlu memuat turun dan seterusnya mendaftar dengan laman-laman yang menawarkan pelbagai produk dengan potongan harga yang istimewa. Kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa kupon atau rebat tunai yang diberikan sebenarnya memberi banyak keuntungan kepada mereka. Sekiranya mereka tidak mempunyai kod pembayaran yang menawarkan diskaun, pengguna masih boleh menggunakan kod khas untuk mengurangkan harga akhir bagi barangan yang ingin dibeli. Kod ini sering diberikan melalui media sosial, jadi pengguna boleh memuat turun beberapa akaun jualan dalam talian untuk mendapatkan kod diskaun terkini: 1. Masukkan barangan yang hendak dibeli dalam senarai yang mungkin dibeli atau “wish list”. Pengguna hendaklah membuat pilihan terlebih dahulu barang yang ingin dibeli dan kumpulkan dalam senarai tersebut sebelum membuat keputusan sama ada meneruskan pembelian atau sebaliknya.
2. Pengguna akan menerima e-mel tentang maklumat diskaun atau kod potongan harga sebagai langkah menghalakan pengguna kembali ke laman sesawang berkenaan dan terus berbelanja. 3. Melalui langganan bulletin. Melalui kaedah ini, pengguna akan mengetahui diskaun-diskaun tertentu yang tidak diiklankan dalam laman sesawang. Mungkin terselit kupon atau kod yang menawarkan potongan harga istimewa dalam buletin yang dihantar. 4. Membuat perbandingan harga sesuatu barang dalam laman-laman yang berlainan. Mungkin proses ini agak rumit, namun pasti menguntungkan pengguna kelak. Langkah ini mampu memberi penjimatan yang lebih tinggi dengan perbezaan harga yang ketara hingga mencecah puluhan atau ratusan ringgit. Sekiranya membeli barangan melebihi satu unit, pengguna pasti dapat menikmati lebih banyak penjimatan. Ringkasnya, pengguna seharusnya mengamalkan pendekatan berbelanja secara berhemat ketika membeli-belah dalam talian. Pastikan tidak membeli barangan yang tidak perlu bagi mengelakkan berlaku pembaziran.
1 Comment
|
AuthorNoor Fayuzmie Aziera binti Mohamad Zubir Archives |