Membesarkan anak autisme semestinya satu cabaran kerana ia bukan perkara yang mudah bagi pasangan ibu bapa. Namun begitu, ia juga bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Antara perkara penting yang ibu bapa perlu tahu dalam membesarkan anak istimewa ini adalah bagaimana untuk berinteraksi dengan mereka. Apakah autisme? Istilah ‘autisme’ berasal daripada perkataan ‘autos’ bermaksud ‘diri sendiri’. Manakala, ‘-isme’ bermaksud satu aliran. Autisme merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Dalam erti kata lain, autisme atau autism spectrum disorder (ASD) adalah gangguan mental yang berkaitan dengan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak. Malangnya ia akan menjejaskan kemampuan mereka untuk berinteraksi sesama individu lain termasuklah ibu bapa mereka sendiri. Dalam pada itu, ia juga akan memberi kesan terhadap sosial, komunikasi dan tingkah laku kanak-kanak istimewa ini. Kanak-kanak autisme kebiasaannya lambat bertutur jika dibandingkan dengan rakan sebaya mereka. Perkembangan bahasa kanak-kanak autisme adalah berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada tahap autisme kanak-kanak tersebut sama ada ringan atau teruk.
Melalui pengalaman seorang ibu kepada anak autisme, Kamazelina Dollah, 58, beliau menyedari anaknya, Zunnur Muhammad Zainondin, 27, menghidap autisme ketika berusia 4 tahun, dan antara simptom autistik yang ditunjukkan adalah menghantuk kepala ke dinding dan lantai, hiperaktif, tiada kontak mata semasa berbual serta tidak bergaul dengan rakan sebaya. Tambahan pula, Puan Kamazelina mengakui bahawa terdapat kelainan terhadap perkembangan bahasa dan pertuturan anak beliau berbanding anak normal yang lain. Apabila berkomunikasi dengan Muhammad, beliau perlu menggunakan bahasa isyarat diiringi dengan gerak-geri bahasa tubuh kerana anak istimewa ini tidak boleh bertutur dan mendengar dengan baik. Semestinya seperti ibu yang lain, Puan Kamazelina turut membawa anaknya mendapatkan rawatan. Sejak kecil sehingga berumur 9 tahun, Muhammad kerap menerima rawatan khusus seperti terapi. Kemudian, Puan Kamazelina membawa Muhammad berjumpa pakar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Kubang Kerian, Kelantan setelah umurnya mencapai 20 tahun. Antara tip yang boleh dicontohi daripada pengalaman interaksi Puan Kamazelina bersama anaknya adalah memerlukan kesabaran yang sangat tinggi ketika berinteraksi dengan anak-anak autisme kerana mereka mengambil masa yang lebih lama untuk memproses informasi. Oleh itu, ketika berbual dengan mereka, pastikan anda menggunakan perkataan yang mudah untuk difahami dan tidak terlalu laju. Selain membiarkan mereka melakukan aktiviti fizikal, anda juga perlu sentiasa menggunakan sentuhan seperti memeluk dan mencium untuk menunjukkan bahawa anda menyayangi mereka. Beberapa tip lain yang boleh dikongsi untuk memudahkan ibu bapa atau penjaga yang mengalami kesulitan untuk berinteraksi dengan penderita autisme adalah, ibu bapa perlulah mengajar anak untuk tidak menzahirkan kemarahan secara agresif. Ibu bapa juga perlu sentiasa menemani mereka jika mereka mula mengalami gangguan emosi. Tambahan pula, kanak-kanak autisme cenderung mempunyai masalah penumpuan terutamanya ketika berinteraksi. Apa yang ibu bapa boleh lakukan adalah membawa anak istimewa anda ke luar rumah dan membiarkan mereka bermain untuk membentuk rutin yang boleh membuat mereka berasa tenang dan selamat di samping anda.
Kesimpulannya, kita hendaklah sedikit sebanyak memiliki ilmu mengenai penyakit ini supaya apabila kita berhadapan dengan mereka, kita dapat menyesuaikan diri dengan keadaan mereka.
0 Comments
|