Pandemik covid-19 yang melanda seluruh dunia telah memberikan tamparan dan pengajaran yang hebat kepada manusia umumnya. Negara kita juga tidak terkecuali dengan berhadapan akan wabak pembunuh ini. Sungguhpun cinta dikatakan buta, rupanya wabak ini juga sama butanya. Tidak dikisah orang kebanyakan atau orang ada-ada, jika tidak berwaspada, kita juga tentu akan menjadi mangsa seterusnya. Meskipun mereka yang kaya raya sering dikatakan “baring atas duit”, akan tiba suatu masa di mana mereka tidak boleh duduk senang mengenangkan gunung yang tinggi akan runtuh jika setiap hari digali. Oleh hal yang demikian, rakyat Malaysia diseru agar megamalkan amalan berjimat dalam setiap perkara atau pembelian. Melihat kepada situasi kini sudah dapat memberikan gambaran kepada kita bahawa salah satu kepentingan mengamalkan amalan berjimat adalah membolehkan kita menggunakan wang simpanan sebagai persiapan bagi menghadapi ujian yang kedatangannya tidak diundang. Sesungguhnya malang tidak berbau, kita tidak dapat menduga perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Justeru, konsep sediakan payung sebelum hujan sewajarnya disematkan dalam diri sebagai persiapan awal untuk kegunaan pada masa akan datang. Jangan sesekali kita mengamalkan falsafah di sebalik peribahasa mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan kerana hal seperti ini akan menyusahkan hidup kita di kemudian hari. Perkara yang perlu dihindari dalam membudayakan amalan berjimat cermat: 1. Hindari Sikap Suka Membazir. Pengurus Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Cawangan Kota Bharu, Mohd Rizauddin Noor ada menyatakan bahawa kita seharusnya mendidik diri dan mengubah gaya hidup mewah kepada gaya hidup yang bersederhana serta berbelanja mengikut keperluan bukan kehendak bagi menjamin kelangsungan hidup. Pakar sudah berbicara, maka marilah kita bersama mematuhi nasihat elakkan berbelanja secara berlebihan bagi mencegah saya dan awak daripada membeli barangan yang berlandaskan kehendak. Berdasarkan pemerhatian saya, hampir kesemua barangan yang dibeli kerana nafsu kehendak hanya akan dibuang atau hanya dijadikan hiasan dalam almari tanpa digunakan. Justeru membawa kepada pembaziran wang. Sebagai contoh, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula diisytiharkan, telah wujud satu hobi mencuba pelbagai masakan viral sehinggakan wujudnya kumpulan facebook yang bertemakan masakan yang boleh dikatakan "unik". Bagi memuaskan diri dan dunia media massa mereka sanggup berbelanja lebih bagi penyediaan bahan mentah dalam masakan tetapi apa yang membimbangkan adalah masakan yang tidak menjadi atau berlebihan tetapi sudah semestinya meskipun makanan buruk kalau viral tetap gembira. 2. Hindari Pembelian Panik Ketika PKP mula diumumkan, masalah pembelian panik melanda dikalangan rakyat menyebabkan ada di antara mereka yang membeli bukan mengikut keperluan sebaliknya kehendak semata-mata yang menjurus kepada pembaziran. Sedarlah bahawa pembelian panik boleh mengakibatkan kenaikan harga barangan secara tiba-tiba, maka usahlah rakyat terlalu bimbang. Walaupun kita dilanda situasi gawat, beberapa kenyataan jaminan bekalan makanan masih mencukupi telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Dari sudut ini jelas dapat dilihat bahawa kerajaan sesungguhnya menitik beratkan kebajikan dan masalah rakyat. 3. Hindarkan Amalan Ketagihan Berbelanja Dalam Talian Saranan duduk di rumah dan larangan kesana kesini telah membuka peluang yang luas kepada peniaga dalam talian berkembang luas bak cendawan tumbuh selepas hujan. Pelbagai jenis produk, barangan, serta makanan viral yang ditawarkan. Walaupun begitu kita perlu sedar bahawa ini bukan masa untuk kita berbelanja sakan dengan menggunakan semua wang simpanan. Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan memberi sedikit tekanan kepada kita semua yang sudah biasa bersiar-siar dan berbelanja di pusat membeli belah, tetapi usahlah menghiburkan diri dengan membelanjakan wang untuk perkara yang tidak bermanfaat. Aktiviti pembelian dalam talian tidak menjadi masalah jika awak dapat menentukan dan mengawal item yang benar- benar diperlukan dengan barangan yang hanya mengikut kehendak sahaja. Daripada menghabiskan wang digunakan untuk membeli-belah, lebih baik awak melaburkannaya di tempat yang lebih berguna atau mulakan amalan menyimpam bagi kegunaan sewaktu kecemasan. Secara tuntasnya, saranan 3 perkara yang perlu dihindarkan diatas adalah supaya rakyat terus berjimat dan berfikir dahulu sebelum menggunakan wang memandangkan ekonomi Malaysia terjejas akibat penularan covid 19. Saya tahu bahawa duit awak adalah hak awak, tetapi keselesaan yang kita miliki sekarang tidak menjamin harta itu terus berkekalan. Maka beringat dan berjimatlah dalam berbelanja.
0 Comments
|
AuthorDayangku Nuwadahlillah binti Awang Razemi Archives |