Amalan pemakanan yang sihat dan seimbang merupakan sesuatu perkara yang amat penting untuk mengelakkan masalah kesihatan. Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup dan memberi semua zat untuk keperluan tubuh badan seperti karbohidrat, lemak, vitamin, protein dan sebagainya. Tubuh kita memerlukan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang berbeza untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Pengambilan sumber karbohidrat adalah amat penting kerana ia membekalkan tenaga sebanyak 50-55% jumlah tenaga harian. Seterusnya, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran adalah baik untuk membantu menguatkan ketahanan badan (imuniti). Pengambilan lemak juga perlu dalam pemakanan yang seimbang namun, perlu diambil dalam kuantiti yang sedikit. Hal ini kerana, pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan risiko penyakit kronik seperti obesiti, kencing manis, penyakit jantung dan sebagainya. Sumber gambar: Google Namun tahukah anda, pengambilan protein yang kurang boleh menyebabkan suatu keadaan kekurangan gizi atau malnutrisi, atau dari segi perubatannya dipanggil kwashiorkor. Sumber protein perlu diambil dengan secukupnya supaya dapat membina tubuh dengan baik untuk memperbaiki sel-sel dan membina sel baru. Protein juga amat penting untuk pertumbuhan semasa kecil dan kehamilan. Pemakanan yang tinggi protein, kalsium dan pelbagai jenis vitamin dan mineral dapat membina tulang dan gigi yang kuat serta dapat mengurangkan risiko tulang rapuh di usia tua. Sumber gambar: Google Penyakit kwashiorkor dikatakan jarang terjadi dalam kalangan kanak-kanak di negara maju namun ada segelintir kes biasa di negara yang mundur seperti Afrika, Asia Tenggara dan sebahagian Amerika Tengah dek kerana kekurangan makanan yang seimbang, dan kurangnya ilmu pengetahuan mengenai pemakanan yang betul dan sihat untuk bayi dan kanak-kanak. Akan tetapi, penyakit ini tidak boleh dianggap remeh, kerana boleh menyebabkan kegagalan organ utama dan mengakibatkan kematian. Sebilangan besar pesakit kwashiorkor pulih sepenuhnya jika mereka menerima rawatan awal. Rawatan tersebut melibatkan pengawalan kalori dan pengambilan protein tambahan dalam pemakanan. Kanak-kanak yang menghidap kwashiorkor mungkin tidak akan membesar dengan sebaiknya atau terbantut sepanjang hayat mereka. Komplikasi yang serius mungkin berlaku jika rawatan ditangguhkan seperti koma, kejutan, kecacatan mental dan fizikal yang kekal serta boleh membawa maut. Sumber gambar: Google Gejala kwashiorkor Kwashiorkor berlaku disebabkan oleh terlalu banyak cecair berkumpul di dalam tisu badan terutamanya di bahagian kaki, perut, dan seluruh tubuh. Badan akan menjadi bengkak atau dalam bahasa perubatannya dipanggil oedema. Selain itu, pesakit juga boleh mengalami susut otot, abdomen membuncit, kerap mendapat jangkitan kuman, kulit menjadi tompok merah, rambut menjadi rapuh, dan terbantut. Gejala penyakit kwashiorkor dapat diperhatikan dengan bentuk tubuh badan yang sangat kurus dan tumbesaran anak tidak mengikut umurnya. Protein diperlukan oleh tubuh badan kita untuk memperbaiki sel-sel yang rosak. Apabila tubuh badan kita kekurangan protein, pertumbuhan dan fungsi badan yang normal akan terjejas dan kemungkinan akan mendapat penyakit kwashiorkor. Protein dalam darah berfungsi untuk menjaga kestabilan cecair dalam pembuluh darah. Bagaimana kwashiorkor dirawat? Kwashiorkor dapat dirawat dengan mengambil lebih banyak protein dan kalori secara keseluruhan, terutamanya jika rawatan dimulakan lebih awal. Pada peringkat awal, kita perlu mengambil lebih banyak kalori dalam bentuk karbohidrat, gula dan lemak. Setelah kalori ini memberikan tenaga, kita boleh mengambil makanan berprotein. Makanan harus diambil secara teratur dan pengambilan kalori harus ditingkatkan secara perlahan kerana pesakit sudah lama tidak mendapat nutrisi yang betul. TAHUKAH ANDA?
Selain kanak-kanak, orang dewasa juga cenderung mendapat penyakit kwashiorkor jika tidak mengawal pengambilan alkohol.
0 Comments
|
AuthorQurratul 'Aini Binti Badrul Hisham |