Kunyit yang juga dikenali sebagai Curcuma longa L. (C. longa) adalah salah satu rempah tradisional dan herba perubatan terbaik yang sering digunakan dalam masakan kaum India. Selain di India, kunyit juga digunakan secara meluas di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan lain-lain. Menurut Chattopadhyay (2004), curcuma adalah nama genus, manakala Curcuma longa L. adalah nama spesis bagi kunyit. Kunyit mengandungi pelbagai komposisi kimia seperti protein, lemak, mineral, karbohidrat dan kandungan air. Jika kita perhatikan pada bentuk dan komponennya, kita dapati bahawa bentuk kunyit adalah dari spesis halia iaitu Zingiberaceae, manakala komponen utama yang ada padanya adalah sebatian kurkuminoid iaitu kurkumin yang merupakan rahsia khasiat kunyit “si kuning oren”. Kurkumin bertindak sebagai agen pewarna yang mempunyai dua jenis sebatian iaitu demetoksikurkumin (DMC) dan bisdemetoksikurkumin (BDMC). Sumber: UiTMT E-Academia Journal Ramai yang tidak sedar di sebalik simbolik warna kuning orennya yang menonjol, kunyit merupakan tumbuhan herba yang mempunyai 1,001 khasiat dari sudut kesihatan. Rempah kunyit yang lazimnya berada di dapur masakan, sekarang mampu berperanan di dalam aktiviti perubatan di klinik rawatan. Antara lima khasiat kunyit dari sudut kesihatan ialah: 1. Anti-radang Secara ringkasnya, radang adalah tindak balas yang diberikan oleh badan apabila berlakunya kecederaan atau jangkitan. Kurkumin kunyit dapat membantu melindungi badan melawan bakteria-bakteria jahat seperti patogen daripada memasuki tubuh badan akibat daripada kecederaan dan memperbaiki kerosakan dalaman badan. Kurkumin sangat kuat terhadap anti-radang sehingga ia sesuai dengan keberkesanan beberapa ubat anti-radang tanpa memberi kesan sampingan. Pengambilan kurkumin sebagai bahan bioaktif untuk melawan keradangan daripada kronik adalah sangat penting kerana kurkumin bergerak ke dalam nukleus sel dan akan menghidupkan gen yang berkaitan dengan anti-radang. 2. Menurunkan Risiko Sakit Jantung Penyakit jantung adalah penyebab kematian nombor satu di dunia. Terdapat beberapa kajian telah dijalankan selama beberapa dekad untuk mengetahui punca sebenar mengapa ia berlaku. Secara amnya, penyakit jantung sangat rumit dan pelbagai perkara menyumbang kepadanya. Disfungsi endotelium (lapisan saluran darah) terhadap jantung adalah penyebab utama kepada penyakit jantung yang melibatkan ketidakupayaan endotelium dalam mengatur tekanan darah, pembekuan darah dan sebagainya. Oleh itu, kurkumin yang ada pada kunyit dapat memperbaiki dan meningkatkan fungsi endotelium tersebut sekaligus membantu menurunkan risiko sakit jantung. 3. Mencegah dan Merawat Kanser Kanser adalah satu penyakit yang dicirikan oleh pertumbuhan sel yang tidak terkawal. Kanser menjadi bahaya apabila sel tersebut mengganggu dan melumpuhkan fungsi normal organ yang lain sehingga menyebabkan kematian. Kanser merebak dari tempat asal ke organ atau bahagian badan yang lain secara sistematik iaitu melalui saluran darah atau limfa. Terdapat dua kategori kanser iaitu bukan barah (benign) dan barah (malignant). Kurkumin telah dikaji sebagai ramuan yang berkhasiat dan bermanfaat dalam rawatan kanser di mana ia dapat membantu mematikan sel-sel barah, mengurangkan pertumbuhan saluran darah baru pada tumor (angiogenesis) dan memberhentikan daripada berlakunya penyebaran barah (metastasis). 4. Mengurangkan Risiko Penyakit Alzheimer Alzheimer adalah sejenis penyakit neurodegenerasi yang berpunca daripada kematian sel-sel saraf di bahagian otak yang menyebabkan berlakunya komplikasi pada daya ingatan, pemikiran dan tingkah laku seseorang khususnya warga emas. Malangnya, pada masa kini belum ada rawatan yang terbaik untuk mengubati penyakit ini. Kajian epidemiologi menunjukkan bahawa keradangan, kerosakan oksidatif dan plak amiloid adalah antara ciri utama penyakit Alzheimer berlaku. Jadi, kurkumin kunyit mempunyai kesan yang baik dalam membantu melawan keradangan dan kerosakan oksidatif tersebut serta dapat membantu membersihkan plak amiloid yang ada pada pesakit Alzheimer. 5. Membantu Menurunkan Berat Badan Berat badan mempunyai pengaruh yang besar ke atas kesihatan sepanjang hayat. Mengekalkan berat badan yang normal boleh mengurangkan risiko pelbagai komplikasi kesihatan. Seseorang yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes berisiko tinggi mendapat penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, sakit jantung, usus, osteoarthritis dan sebagainya. Untuk mengelakkannya daripada berlaku, pengambilan kurkumin kunyit sangat penting kerana ia berfungsi memberikan respon pada peradangan sel-sel tubuh badan termasuk sel-sel pankreas, lemak dan otot. Selain itu, ia dapat membantu mengurangi resistensi insulin, menurunkan kadar gula dalam darah dan kolestrol serta gangguan metabolisme lainnya akibat daripada berat badan berlebihan. Kurkumin kunyit sepatutnya mendapat galakan sosial di dalam penyediaan diet pemakanan yang sihat. Kesimpulannya, kunyit adalah salah satu herba perubatan terbaik dan unik dari pelbagai jenis sebatian kimia yang bertanggungjawab memberi manfaat dan khasiat kepada pengguna. Warna kuning orennya yang terhasil daripada kurkumin menjadikan kunyit sebagai satu herba yang selamat untuk dimakan kerana kandungannya yang paling aktif dalam memberikan khasiat dari sudut kesihatan. Justeru, penyelidikan dan kajian harus tetap dijalankan bagi memanfaatkan lagi herba perubatan ini dalam memerangi sesuatu penyakit. Sumber: Pexels
0 Comments
|
AuthorNur Zafirah Amni binti Mohd Yusop |