Masalah komunikasi dalam keluarga sehingga tercetusnya salah faham merupakan salah satu punca keretakan rumah tangga. Komunikasi adalah sangat penting dalam perhubungan, terutamanya bagi pasangan yang telah berkahwin. Jika sebelum berkahwin pandai melafazkan kata-kata manis, selepas berkahwin juga perlu melakukan perkara yang sama untuk mengekalkan kemanisan bercinta.
Lumrah dalam kehidupan berkeluarga pasti berdepan dengan masalah sama ada kecil atau besar. Sekiranya terdapat perkara yang menggores hati, segeralah berbincang dengan pasangan untuk mengelakkan bermasam muka antara pasangan atau lebih buruk lagi tercetusnya konflik akibat daripada perkara tersebut. Setiap masalah yang dihadapi seeloknya dilakukan perbincangan terlebih dahulu untuk mencari jalan penyelesaian bersama.
Andai si suami sedang berdepan masalah, perlu bagi suami untuk merendahkan egonya dengan menceritakan masalahnya kepada isteri meskipun ia berat untuk dilakukan. Ini bertujuan supaya isteri dapat memahami dan boleh membantunya dalam mencari penyelesaian. Kehidupan berkeluarga memerlukan kerjasama antara satu sama lain kerana kita tidak lagi hidup seorang diri dan perlu saling berkongsi.
Setiap manusia pasti ada kelebihan dan kekurangan. Sebagai manusia, kita begitu mudah untuk menerima kelebihan seseorang berbanding kekurangannya. Sedangkan kekurangan itu boleh diketepikan jika kita melihat dari sudut yang positif. Oleh itu, setiap pasangan seharusnya menerima kekurangan dan kelemahan pasangan mereka. Bahkan, peranan setiap pasangan adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Hormati dan layan pasangan kita dengan baik dan bersyukurlah kerana tuhan telah menghadirkan pasangan hidup bagi menyerikan kehidupan kita. Layarilah bahtera perkahwinan ini dengan berusaha sebaiknya untuk membahagiakan pasangan masing-masing kerana tidak semua pasangan yang berkeluarga mampu menghadapi konflik rumah tangga dengan baik. Nampak mudah bukan untuk membina keluarga yang bahagia?
0 Comments
|