Apabila belajar secara atas talian, mesti banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh semua pelajar, terutamanya pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sendiri. Antara salah satu cabaran belajar atas talian adalah suasana ruang belajar yang kurang kondusif, tiada kemudahan tempat untuk meletakkan bahan bacaan, pencahayaan, serta kedudukan meja belajar itu sendiri. Hal ini akan menimbulkan banyak masalah kepada pelajar itu sendiri termasuklah mood study atau suasana belajar akan menjadi suram, dan ini juga akan mengundang kepada kelewatan pelajar untuk menghadiri ke kelas atas talian, hasil kerja yang kurang efisien, kerjasama antara kumpulan juga akan menjadi lemah. Di sini penulis ingin berkongsi sedikit maklumat yang berguna tentang idea-idea ruang belajar dalam menghidupkan suasana belajar yang kondusif dan positif. 1. Lokasi yang Strategik! Jika kita ingin membina sesuatu, pasti kita akan memilih lokasi yang strategik mengikut citarasa kita. Manakan tidak lokasi yang strategik boleh menjadikan sesebuah ruang kelihatan cantik dan sistematik. Bagi pelajar pula, mulalah memilih lokasi bagi ruang belajar yang strategik dan selesa supaya pelajar mampu memberikan konsentratif yang penuh semasa pembelajaran di atas talian. Samada di bilik tidur, ruang bacaan, dapur, beranda mahupun di tepi tingkap. Yang paling penting pastikan ruang belajar tersebut jauh dari sebarang gangguan dari bunyi mahupun manusia. Siapa suka belajar dalam suasana bising, bukan? Jadi, unsur senyap dan tenang adalah asas dalam mewujudkan ruang belajar yang lebih kondusif. Tugasan dan assignment pun dapat dilaksanakan dengan lebih lancar. 2. Warna Pastel atau Gelap? Tahukah anda warna latar belakang atau dinding rumah anda juga mampu memberi kesan kepada suasana belajar anda? Jadi, anda harus bijak dalam menyusun warna-warna di ruang belajar untuk menghidupkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif. Jadi, ruang belajar yang berlatarbelakangkan warna cerah atau patel sebenarnya lebih kondusif berbanding warna gelap. Ini kerana faktor pencahayaan pada dinding tersebut menyebabkan ruang belajar menjadi lebih cerah. Sama seperti suasana di kelas. konsep latar belakang berwarna putih memberi pencahayaan yang lebih baik. Disertakan dengan kemudahan kelas seperti meja dan kerusi yang berwarna gelap sebagai warna dominan kepada dinding putih menjadikan ruang kelas lebih kondusif dan moden. Jadi, sekiranya anda sukakan latar belakang yang berwarna cerah, adalah digalakkan untuk mencari perabot yang menggunakan warna gelap ataupun pastel bagi yang suka suasana yang aesthetic. Manakala yang berlatarbelakangkan warna gelap, anda merupakan pelajar yang sukakan belajar dalam mood profesional. Untuk mewujudkan suasana yang profesional dan sistematik, anda dinasihatkan untuk menggunakan kemudahan belajar yang berwarna putih, kerana jika semuanya dalam keadaan gelap, suasana pembelajaran akan menjadi muram dan lebih tertekan. Jadi tona warna dalam sesebuah ruang sangat dititkberatkan kerana warna mampu mempengaruhi minda dan jiwa seseorang. Pelukis Rusia, Wassily Kandinsky berkata, “Colour is a power which directly influences the soul.” Bermaksud warna adalah 'kuasa' yang mampu mempengaruhi jiwa seseorang secara tak langsung. 3. Lebih Sistematik! Bila bergelar pelajar IPT, tidak hairanlah bahan bacaan adalah sahabat karib bagi pelajar. Ada yang lebih sukakan bahan bacaan elektronik, dan ada juga yang sukakan bahan bacaan bercetak. Jadi, ruang yang sistematik dan teratur mampu mengurangkan tekanan pada mata pelajar semasa proses pembelajaran dijalankan. Sebelum memulakan sesi pembelajaran, pastikan meja di ruangan belajar anda bersih dan disusun rapi dari buku-buku dan kertas-kertas. Pastikan juga ruang belajar anda bersih dari sampah makanan mahupun kertas 'kotor'. Penggunaan 'floating shelves' atau rak terapung pada masa kini adalah lebih popular dan antara produk yang mempunyai permintaan tertinggi kerana reka bentuknya yang ringkas dan lebih moden. Rak terapung juga mudah didapati di kedai-kedai perabot dan di atas talian. Ruang maklumat juga penting bagi pelajar bagi melihat senarai kerja dan jadual kelas. oleh itu, kurangkan letak maklumat yang terlalu banyak, buang maklumat yang lepas dan dinasihatkan untuk meletakkan gambar yang menarik untuk menjadikan ruang belajar yang lebih selesa. 4. Jangan Terlalu Selesa! Ruang belajar yang selesa mampu memberi pelajar belajar dalam zon yang tenang dan aman, akan tetapi ruangan yang telalu selesa seperti belajar di atas katil adalah tempat yang tidak produktif bagi pelajar untuk melakukan proses pembelajaran di atas talian. Postur badan pelajar juga memainkan peranan dalam proses pembelajaran yang lebih efektif. Seperti belajar di kelas, pelajar seeloknya belajar di postur yang sesuai semasa belajar. Duduk di atas kerusi dalam keadaan tegak, bukan membongkok. Namun demikian, ada juga yang lebih sukakan belajar menggunakan meja jepun yang kecil. Akan tetapi diingatkan untuk pelajar agar mengambil masa rehat sekejap bagi mengelakkan duduk belajar dalam tempoh yang lama kerana ianya tidak baik untuk badan dan minda pelajar. 5. Tumbuhan Menambahkan Ketenangan Penggunaan tumbuh-tumbuhan seperti kaktus, aloe vera, dan monstera kini menjadi bahan dekorasi rumah yang popular pada masa sekarang. Penggunaan konsep semulajadi juga mampu memberi ketenangan kepada pelajar semasa proses pembelajaran berjalan. Pemfokusan kepada skrin elektronik seperti telefon pintar atau komputer riba menyebabkan mata menjadi kering dan letih. Jadi, tumbuhan semulajadi mampu memberi ketenangan dan merehatkan. Berdasarkan artikel ameritech.edu, tumbuhan semulajadi mampu meningkatkan kualiti udara dalam rumah. Ini kerana pembebasan oksigen yang dihasilkan oleh tumbuhan tersebut. Diingatkan agar pelajar sentiasa menyiram tumbuhan kerana tumbuhan juga memerlukan air. Kesimpulannya, belajar di suasana yang kondusif mampu menjadikan pembelajaran lebih efisien serta meningkatkan produktiviti kerja. Dan jangan lupa perbetulkan niat belajar kerana Allah, membaca doa penerang hati dan tutup segala gangguan samada telefon pintar ataupun peranti yang mengganggu fokus pelajar semasa proses pembelajaran di atas talian.
0 Comments
|
Author Nornajmina Izwani Binti Adam@Adnan Archives |