Oleh: Ili Hayani Binti Khisam Siapa yang tak mahu dekan setiap semester kan? Jom ikuti tips-tips berikut! Sebelum itu, mari kita kenal siapakah tuan badan yang berkongsi tips-tips ini. Nama beliau Nurul Aqilah binti Jarman, 23, pemegang Ijazah Sarjana Muda Quran Sunnah dengan Kepujian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kejayaan beliau mendapat dekan setiap semester membuatkan beliau terpanggil untuk berkongsi tips yang beliau amalkan supaya ramai lagi yang boleh capai kejayaan sepertinya di luar sana. Tidak sabar untuk mengetahui tips beliau? Mari kita menelitinya satu persatu. 1) Jaga hubungan dengan Allah serta makhluk Perkara pertama yang beliau lakukan adalah menjaga hubungan vertikal dan harizontal. Hubungan vertikal adalah hubungan dengan Allah, manakala hubungan harizontal pula ialah hubungan sesama makhluk merangkumi ibu bapa, guru dan seterusnya orang sekelilingnya. Menurut beliau, untuk mendapat keberkatan setiap ilmu yang dipelajari, beliau hendaklah memastikan bahawa dirinya tidak menyakiti hati dan perasaan orang disekelilingnya. Beliau tidak mahu hal ini menjadi penghalang untuk beliau capai cita-citanya. 2) Hormat pensyarah Walaupun pensyarah boleh dimasukkan dalam point di atas, tetapi beliau mengasingkannya kerana perkara ini baginya amat penting untuk ditekankan. Rasa teruja, kagum dan hormat pada pensyarah atas ketinggian ilmu yang ada pada mereka perlu disemat dalam jiwa. Mereka adalah insan-insan yang hebat dan sudah pasti akan menyampaikan pada para pelajarnya ilmu-ilmu yang hebat dan berguna. Pada beliau, melalui perasaan-perasaan beginilah yang membuatkan beliau rasa seronok dengan suasana pembelajaran di UKM. Antara pengalaman yang tidak dapat beliau lupakan adalah ketika sesi berkenalan bersama pensyarah yang hebat dalam bidang akademik. Pensyarah tersebut bukan sahaja sekadar menyampaikan ilmunya, malah memberi penerangan secara terperinci tentang sesuatu ilmu tersebut, yang mana caranya menyedarkan pengajaran bukan semata kerana exam. “Kami sangat rapat dengan pensyarah sehinggakan mereka sangat menitik beratkan kebajikan kami sebagai mahasiswa. Lebih- lebih lagi pada musim COVID-19, ramai pensyarah bertungkus-lumus menyediakan bahan pengajaran yang mudah dan berkesan supaya kami dapat belajar dengan selesa dan hidup seperti pelajar lain,” katanya lagi. 3) Rancang dan laksanakan Beliau sentiasa mengatur kehidupan sehariannya dengan berpandukan jadual yang sudah dicatat dalam ‘personal planner’ supaya tiada pembelajaran dan perkara-perkara penting yang tertinggal. Jika ada tugasan, kuiz dan sebagainya beliau akan bersedia awal dan buat dengan sebaik mungkin. Begitu juga ketika menjelang peperiksaan. Beliau tidak hanya menumpukan pada tajuk spot akan tetapi beliau akan mengulangkaji semua topik. “Bila kita bersedia dengan semua tajuk yang kita sudah belajar, insyaAllah kita pasti akan dapat jawab dengan baik,” kongsinya. Beliau juga seorang yang sangat menepati masa. Sebagai contoh, “jika saya dah set thesis mesti hantar pada sekian tarikh, maka saya mesti ikut dan capaikan juga apa yang telah saya rancang. Jika tugasan kena hantar minggu hadapan, maka minggu ini mestilah sudah siap,” kata Aqilah lagi. Dalam hidup perlu ada perancangan jika tiada perancangan, pasti kehidupan akan menjadi kelam kabut dan tidak teratur. 4) Tetapkan matlamat yang ingin dicapai Pelajar yang hendak berjaya hendaklah meletakkan matlamat yang ingin dicapai pada masa hadapan. Sebagai contoh, semasa beliau sedang menyiapkan thesis, beliau tanamkan dalam minda untuk tidak menangguh-nangguhkan masa yang terluang dengan perkara tidak berfaedah dan beliau sentiasa bertanya kepada supervisor tentang tajuk yang tidak difahami supaya tidak tersasar dengan kehendak tugasan. “Kita sebagai pelajar perlu ada matlamat, segala apa yang kita telah mulakan hendaklah kita habiskan,” kata beliau. 5) Study group Jangan bersikap dengan sifat kedekut ilmu. Jika beliau faham dengan sesuatu topik yang telah diajar oleh pensyarah, beliau akan kongsi ilmu tersebut dengan rakan-rakan lain seperti mengadakan study group. Menurut beliau, terdapat sesetengah pelajar yang malu bertanya semasa sesi pembelajaran dalam kelas, oleh itu study group merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mendapat maklumat tambahan. 6) Rehat jika perlu Semua pelajar pasti pernah mengalami rasa give up terutamanya apabila banyak tugasan yang perlu diselesaikan dalam waktu yang singkat. “Kita sebagai pelajar yang hendak berjaya, jangan terlalu cepat rasa give up. Apa yang kita perlu buat adalah rehat sebentar daripada melakukan kerja tersebut dan buat sesuatu yang dapat menggembirakan diri,” kata beliau ketika di temu ramah. Beliau juga pernah mengalami kebuntuan berkali-kali ketika menyiapkan thesis, namun beliau tetap gagahkan diri dan akhirnya berjaya menyiapkan thesis mengikut waktu yang ditetapkan. 7) Ikhtiar dan tawakal
Beliau sentiasa memperbaharui niat belajarnya supaya ikhlas menuntut ilmu kerana Allah. Apabila tiba waktu peperiksaan beliau akan tenangkan hati dan yakin bahawa beliau boleh menjawab dengan mudah. Malahan, sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan beliau akan menghubungi ibu bapanya supaya mendoakannya ketika menjawab peperiksaan. Beliau akan ikhtiar sebaik mungkin dan bertawakal dengan keputusan yang bakal diterima. Hal ini kerana beliau yakin dengan segala usahanya pasti akan membuahkan kejayaan yang cemerlang. Beliau sentiasa bersyukur dan mengingatkan diri bahawa setiap kejayaan yang beliau perolehi, terdapat doa yang mengiringinya. Kejayaan mustahil dapat dikecapi jika anda sekadar membaca tetapi tidak mencuba. Jom praktikkan dan rasai kemanisannya!
10 Comments
|
PenulisIli Hayani Khisam ArchivesCategories |