Oleh: Nur Amnani Binti Hazlan Setiap insan diciptakan unik. Hatta, setiap cap jari berjuta manusia atas muka bumi ini tidak akan sama antara satu sama lain. Begitu juga perjalanan hidup manusia. Kita mungkin dibesarkan oleh ibu bapa yang sama, pergi ke sekolah yang sama, tetapi pengalaman kita pasti berbeza dan pengalaman merupakan guru yang utama dalam membentuk kehidupan seseorang. Pada penulisan kali ini, penulis ingin berkongsi tentang pengalaman seorang mahasiswa bernama Latifah binti Abdul Wahab ketika menjejakkan kaki ke alam universiti. Perasaan bercampur-baur antara takut dan teruja apabila diterima masuk ke universiti ternyata sukar dikawal apabila banyak perkara baru yang perlu ditempuhi. Namun, perasaan-perasaan inilah yang akan mendorong pelajar bersedia menghadapi suasana pengajian yang jauh lebih berbeza daripada di sekolah. Latifah merupakan pelajar lepasan diploma dan sekarang sedang menuntut di tahun tiga dalam bidang Pendidikan Sains Rumah Tangga, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau mengambil bidang pendidikan kerana beliau bercita-cita menjadi seorang pendidik. Walaupun beliau pernah beberapa kali gagal dalam sesi temuduga di institusi pendidikan, akhirnya rezeki beliau dapat menyambung pelajarannya di UPM. Pilihan ini juga adalah saranan daripada kawan kakaknya yang mengambil bidang yang sama sepertinya. Oleh sebab itu, beliau berasa lebih yakin untuk melaluinya. Sesi suai kenal Kembali kepada topik utama adalah mengenai pengalaman beliau sepanjang dua tahun berada di UPM. Pada tahun pertama ketika menjejak kaki ke universiti, setiap Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan mengadakan minggu sesi suai kenal bersama pelajar baru. Di UPM, minggu ini dikenali sebagai Minggu Perkasa Putra yang berlangsung selama dua minggu. Tujuan minggu ini diadakan bagi memberi pengenalan kepada mahasiswa yang baru tentang alam universiti supaya mereka dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan suasana baru. Selain itu, pelajar akan diberi taklimat berkenaan dengan program pengajian yang ditawarkan, hala tuju dan kerjaya serta kemudahan yang disediakan di universiti. Antara tujuan lainnya juga adalah bagi membangkitkan lagi semangat dan minat para mahasiswa untuk terus menuntut di UPM. Menurut beliau, walaupun penat tapi ia dapat memberi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Selepas pada minggu suai kenal, maka bermulalah sesi adaptasi yang sebenar. Peraturan tempat belajar Antara perbezaan terbesar antara belajar di sekolah dan universiti adalah peraturan di tempat belajar itu sendiri. Contohnya dari segi aspek pemakaian. Di sekolah, semua pelajar perlu berpakaian seragam. Namun di universiti, tidak menetapkan pakaian seragam, hanya perlu memakai pakaian yang sopan serta formal. Selain itu, di universiti, jadual kelas tidak terikat dan padat berbanding di sekolah yang mana telah ditetapkan oleh guru. Kemudian, cara pengajaran diajar juga berbeza. Di universiti, cara mengajar pensyarah lebih ringkas dan selebihnya mahasiswa harus berusaha sendiri. Keadaan ini, ternyata berbeza dari zaman persekolahan yang mana kita kebanyakannya 'disuap' oleh guru semata-mata. Di universiti juga, kerja berkumpulan amat ditekankan untuk menilai pelajar dari aspek kerjasama, tolong-menolong dan tolak ansur. Aktiviti Kokurikulum Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti luar bilik darjah yang wajib disertai oleh semua pelajar universiti. Mereka boleh memilih sama ada ingin terlibat dalam persatuan, kelab, permainan, unit beruniform, atau sukan. Latifah telah memilih untuk menyertai unit beruniform iaitu Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa). Menurut beliau, pada mulanya beliau teragak-agak ingin menyertai badan beruniform tersebut. Namun, setelah dipujuk oleh kawan, akhirnya beliau bersetuju menyertainya. Antara sebab utama beliau menyertai Kor Sispa adalah ingin menginap di kolej sehingga habis semester. Di UPM, menyertai badan beruniform secara automatik dapat menjamin seseorang akan ditempatkan di kolej, maka beliau tidak perlu memikirkan hal-hal rumah sewa lagi selepas itu. Sepanjang beliau mengharungi beberapa semester dalam Kor Sispa, terdapat pelbagai pengalaman pahit dan manis yang beliau dapat rasai. Menurut beliau, pengalaman yang paling mencabar adalah ketika berada di semester tiga kerana pada ketika itu, beliau dan rakan-rakan perlu bertindak sebagai Ahli Jawatan Kuasa (AJK) bagi setiap aktiviti yang dijalankan sepanjang kem bersama junior. Perkara yang tidak boleh dilupakan adalah mereka terpaksa berehat di atas rumput tanpa beralaskan apa-apa dan tempoh rehat itu hanya seketika sahaja sementara menunggu aktiviti malam hari. Beliau juga berkongsi, jika ada kelapangan waktu, Kor Sispa ada menjalankan aktiviti-aktiviti seperti Family Day dan Dinner bagi mengeratkan lagi hubungan antara mereka. Beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai detik-detik manis ini. Akhir sekali, walaupun kehidupan di alam universiti jauh berbeza daripada kehidupan zaman persekolahan, tetapi ia akan menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Melalui pengalaman-pengalaman ini jugalah dapat melatih pelajar untuk hidup berdikari di samping membentuk peribadi yang baik. Terlalu banyak pengajaran yang diperolehi sepanjang bergelar pelajar universiti ini. Oleh itu, ciptalah memori yang terindah sepanjang berada di sana. Ambil peluang sebanyak mungkin untuk menerokai ilmu baru dan jangan sia-siakannya. Hargailah apa yang kita ada dan belajarlah bersyukur seadanya.
5 Comments
|
PenulisNur Amnani Hazlan ArchivesCategories |