Apa Itu 'Fake Braces'? ‘Fake braces’ ialah pendakap gigi palsu yang dipasang pada gigi. Ia kelihatan sama seperti pendakap gigi sebenar (aplian tetap ortodontik). Walau bagaimanapun, ianya tidak berfungsi seperti aplian tetap ortodontik. Aplian tetap ortodontik adalah alat-alat yang digunakan untuk rawatan ortodontik. Ia terdiri daripada ‘bracket’ (pendakap), wayar dan getah yang dilekatkan pada permukaan gigi. Tambahan pula, aplian tetap ortodontik digunakan oleh pakar ortodontik untuk menggerakkan gigi yang tidak teratur dengan pemeriksaan secara berkala sehingga menjadi susunan yang cantik. Pemeriksaan berkala ini mengambil tempoh selama dua tahun setengah hingga ke tiga tahun. Kegilaan Remaja Kini Seterusnya, golongan remaja masa kini gian untuk memakai ‘fake braces’ kerana ingin permukaan gigi mereka dihiasi getah pendakap gigi dalam pelbagai reka bentuk yang menarik dan cantik seperti bunga, bintang, karakter kartun dan sebagainya. Susunan gigi mereka ini biasanya sudah teratur dan tidak memerlukan rawatan ortodontik. Tetapi, oleh kerana perasaan ingin mencuba dan terikut dengan peredaran fesyen membuatkan ada sesetengahnya tidak memikirkan kesan mudarat di kemudian hari, asalkan hajat memakai ‘braces’ tercapai. Pendakap gigi palsu juga boleh dibeli secara atas talian melalui laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter. Ada juga dijual secara haram di sesetengah tempat seperti salun dan pasar gelap. Tambahan pula, kos pendakap gigi palsu ini jauh lebih murah berbanding dengan rawatan ortodontik. Ianya berharga dalam lingkungan RM90 ke RM150 sahaja. Biasanya ‘fake braces’ ini dipasang dalam tempoh 3-5 bulan sahaja. Jika melebihi tempoh berkenaan, gam yang melekatkan ‘fake braces’ ini sudah tidak dapat melekat dengan baik. Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada remaja berkenaan sama ada untuk memakainya dengan lebih lama atau pun tidak. Risiko 'Fake Braces' Banyak risiko yang boleh berlaku kepada pengguna jika menggunakan pendakap gigi palsu, memasang sendiri atau dipasang oleh mereka yang tidak bertauliah. Hal ini kerana doktor palsu yang tidak pernah menjalankan rawatan pergigian menyebabkan mereka tidak mengamalkan pensterilan yang betul. Mereka yang tidak berpengalaman ini juga tidak menitikberatkan kebersihan alat yang digunakan dan berkemungkinan boleh menyebabkan jangkitan berlaku pada gigi si pemakai pendakap palsu. Ini kerana isi kandungannya tidak diketahui sama ada selamat untuk kesihatan atau tidak. Terdapat laporan mengatakan salah satu bahan yang terkandung di dalam ‘fake braces’ adalah dari plumbum yang berbahaya pada kesihatan. Selain daripada itu, alat-alat yang digunakan untuk pemasangan pendakap gigi palsu ini tidak dinyahkuman sebagaimana yang dilakukan di klinik-klinik pergigian ortodontik. Pada permukaan gigi, kesan gam yang dilekatkan boleh menyebabkan gigi terhakis. Karies gigi dan gusi berdarah juga boleh terjadi kerana tiada penerangan untuk penjagaan gigi selepas pemasangan serta unjuk ajar cara memberus gigi juga tidak diberitahu kepada para pembeli ‘fake braces’. Ingatan dan Nasihat Perlu diingatkan kepada remaja yang berhasrat untuk memakai ‘fake braces’, mereka bukanlah doktor bertauliah, Tapi hanyalah orang biasa yang berpura-pura arif tentang ‘braces’. Menurut laporan Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) Dr Doreyat Jemun berkata, jumlah pengguna ‘fake braces’ yang datang ke Klinik Kesihatan Pergigian Awam (KKPA) di seluruh negara semakin meningkat. Kedatangan pesakit itu kerana mereka mengalami pelbagai implikasi daripada kesan penggunaan pendakap gigi tiruan yang semakin menjadi-jadi. Segeralah mengunjungi klinik pakar ortodontik untuk menanggalkan ‘fake braces’. Pemeriksaan penuh juga akan dilakukan oleh pakar ortodontik untuk memastikan tiada sebarang kerosakan pada gigi telah berlaku. Kepada sesiapa yang ingin mencuba untuk memakai ‘fake braces’, dinasihatkan supaya berfikir berulang kali sebelum membuat sebarang tindakan. Takut menyesal tak sudah. Gara-gara nak cantik, tapi akhirnya mendapat bahana penyakit. Rujukan 1.Nurul Awatif Deena Bt Mohamad Fadzli. Fake Braces. [Internet]. [cited 2020 October 20]. Retrieved from: http://www.myhealth.gov.my/en/fake-braces-2/
2.Siti Murni. Akibat 'Fake Braces', Anda Boleh Terdedah Kepada Kanser Dan HIV. Jangan Main Bedal Je! [Internet]. [cited 2020 October 20]. Retrieved from: https://says.com/my/seismik/trend-fake-braces-boleh-menyebabkan-seseorang-terdedah-kepada-penyakit-hiv-hati-hati
4 Comments
|
AuthorNik Khadijah Binti Nik Abdull Muhaimin Archives |