Semenjak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, ramai penduduk terkesan dengannya. Bermula dari 18 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) bagi membendung penularan wabak ini. Ketika PKP dilaksanakan, masyarakat memenuhi masa terluang dengan aktiviti berfaedah. Antara aktiviti yang dijalankan ialah dengan bertani secara kecil-kecilan. Ada juga yang meneruskan aktiviti ini secara berskala besar. Pada ketika ini, beberapa negeri sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) kali kedua setelah PKP dan PKPP iaitu Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan. Keluarga saya sudah lama menjalankan aktiviti bertani secara kecil-kecilan di sekeliling kawasan rumah. Antara tanaman yang yang diusahakan ialah serai, daun kari, kesum, selom, kangkung, ulam raja, tenggek burung dan bunga kantan. Hasil tanaman ini bukan sahaja untuk keperluan sendiri tetapi dijual kepada pemborong di pasar. Aktiviti bertani bukan sahaja dapat mengisi masa lapang tetapi menyihatkan tubuh badan. Selain itu, dapat memupuk semangat kerjasama di dalam sebuah keluarga. Kita juga boleh berjimat dalam berbelanja di samping menambah hasil pendapatan. Penduduk di kampung saya juga ramai yang terlibat dalam aktiviti bertani ini malahan ada yang menjual sayur-sayuran yang mereka tanam kepada penduduk kampung ketika PKP dan PKPB dilaksanakan. Ramai yang mula berminat untuk bertani sejak PKP bagi mengisi masa lapang mereka dan memanfaatkan tanah sekeliling rumah dari terbiar begitu sahaja. Hasil tanaman yang segar yang diperolehi daripada titik peluh sendiri sangat berbaloi dan memberi kepuasan kepada individu yang terlibat dalam pertanian. Hasil yang diperoleh dari tanaman sayur-sayuran mengambil masa lebih singkat berbanding buah-buahan dan tanaman lain.
Berlainan pula dengan Norhadiyana Mansor, 22, menjadikan aktiviti bertani bagi mengisi masa lapang di kampungnya yang terletak di Tangkak, Johor. “Idea ini timbul selepas melihat jiran- jiran menanam sayur-sayuran dan pokok-pokok di sekitar kawasan rumah, kata Hadiyana. Ini membuktikan bahawa bercucuk tanam atau bertani ini telah menjadi hobi ramai orang sejak PKP dan PKPB dilaksanakan. Hadiyana yang juga merupakan pelajar FPBU memberitahu antara tanaman yang ditanam ialah cili, kacang botol, ubi kayu dan daun kunyit. “Sebenarnya saya hanya menolong ibu saudara yang tinggal berdekatan rumah saya,” jelas hadiyana lagi. Dalam situasi sekarang kita tidak boleh merentas negeri sesuka hati. Maka, lebih baik kita meluangkan masa bersama keluarga melakukan aktiviti ini yang menarik dan menyeronokkan. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang merasakan sedikit tekanan mengikuti pengajian atas talian boleh menceburkan diri dalam aktiviti ini bertujuan menstabilkan emosi,mengurangkan tekanan serta menambah pengalaman. Walau bagaimanapun, memang ada risiko yang dihadapi dalam aktiviti bertani ini. Serangan serangga dan monyet antara masalah yang dihadapi pada masa ini. Namun begitu pelbagai cara dilakukan untuk mengatasinya seperti menyembur racun serangga dan membuat pengadang atau pagar. Tidak rugi berbudi pada tanah kerana banyak faedah, manfaat dan keberkatan yang kita peroleh darinya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, dari Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Mana-mana orang Islam yang bercucuk tanam kemudian dimakan daripadanya burung, manusia atau binatang tiada yang lain kecuali baginya sebagai sedekah.”
0 Comments
|
AuthorMuhammad Firdaus Bin Johari Archives |