Oleh: Nurnasuha Hashim “Seronoklah kau dapat belajar di Jepun, sambil belajar boleh pergi jalan-jalan. Boleh kenal budaya Jepun dan rasa keindahan empat musim yang mana tidak dapat di Malaysia,” kataku kepada Fatin. Kebanyakan orang mengatakan bahawa indahnya belajar di luar negara, tetapi di sebalik keindahan, pastinya terselit cabaran yang disembunyikan. Bukan mudah untuk berada di tempat orang, jauh daripada keluarga, jauh daripada suasana Islam dan jauh daripada kebiasaan. Kehidupan di negara matahari terbit merupakan satu rezeki dan peluang terbesar kepada seorang gadis bernama Fatin Athirah Binti Pauji untuk menyelami tradisi negara tersebut dengan niat untuk menuntut ilmu. Beliau merupakan seorang pelajar jurusan Kemanusiaan dan Sains Sosial di Universiti Hirosaki, Aomori, Jepun dan hampir empat tahun menetap di sana sejak Mac 2017. Ternyata terdapat cabaran-cabaran yang perlu beliau lalui yang ingin beliau kongsikan sepanjang berada di sana untuk panduan para pembaca terutama bagi yang ingin menyambung pengajiannya di sana.
Perbezaan agama dan budaya Hidup di negara yang minoriti Muslim sememangnya sangat mencabar terutamanya apabila hendak menunaikan solat. Antara cabaran yang perlu dilalui oleh Fatin sewaktu berada di dalam kelas ialah apabila tiba waktu solat, beliau dan rakan-rakannya yang beragama Islam perlu berani untuk keluar solat walaupun sesi pembelajaran masih berjalan kerana ada kalanya waktu untuk solat adalah amat singkat. Kadangkala mereka dipandang dengan pandangan yang aneh oleh sesetengah pelajar bukan Islam sewaktu mengambil wuduk kerana bagi mereka ini adalah perlakuan yang asing. Tuntasnya, Fatin dan rakan-rakannya tidak tinggal solat walaupun mereka terpaksa solat di kelas kosong, parkir kereta, kawasan lapang mahupun bawah tangga kerana di situ ada keberkatannya. Di Jepun, mereka mengamalkan budaya keluar minum bersama bagi mengeratkan lagi silaturrahim sesama mereka. Seperti yang telah dilalui oleh Fatin, beliau pernah diajak rakannya untuk pergi ke Izakaya tetapi ditolak olehnya. Izakaya ialah sebuah kedai yang menjual arak dan sangat terkenal di Jepun sebagai tempat untuk minum minuman beralkohol seperti bir, sake, chuhai dan lain-lain. Bagi orang Jepun, Izakaya ini adalah tempat kebiasaan mereka untuk keluar makan atau bersuai kenal, tetapi bagi seorang Muslim, Fatin memilih tempat-tempat seperti restoran keluarga, taman rekreasi ataupun kafe-kafe sekiranya beliau diajak keluar. Menurutnya lagi, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah pandai untuk menjelaskan tentang Islam terutamanya mengenai perkara halal dan haram kerana kebanyakan mereka tidak pernah tahu mengenai perkara tersebut. Jadi, dengan adanya pemahaman antara kedua-dua pihak, hubungan yang erat tetap dapat terjalin walaupun wujudnya jurang pemisah seperti perbezaan agama dan budaya yang diamalkan oleh mereka. Perubahan musim
Kebanyakan orang berpendapat bahawa berada di negara empat musim ini seronok, akan tetapi keadaan cuaca sebegini juga menjadi cabaran kepada beliau sewaktu pertama kali ke Jepun. Ketika perubahan musim, beliau sering mengalami gangguan emosi serta pemikiran sehingga sering terjaga daripada tidur dan menangis teresak-esak tanpa sebab pada larut malam. Gangguan ini juga menyebabkan beliau suka menyendiri dan bersikap pasif. Kadang perasaan sedih muncul tanpa diduga. Perubahan musim ini juga mengganggu waktu tidur dan menyebabkan sukar untuk fokus dalam pembelajaran dan aktiviti harian. Namun begitu, setelah beberapa tahun menetap di sana, berkat sokongan orang di sekelilingnya, Fatin dapat mengatasi masalah tersebut secara perlahan-lahan. Kesimpulannya, pelangi takkan muncul tanpa adanya hujan, ilmu itu mustahil untuk kita dapat tanpa adanya cabaran. Kadang kala, semuanya kelihatan indah di mata orang, tapi hanya empunya badan yang mampu merasakan. Walaupun pelbagai ombak duri mendatang, namun cabaran seperti ini hanyalah sekadar batu loncatan untuk kita lebih kenali diri dan maju ke hadapan. Maka, cabaran dalam kehidupan ini sebenarnya mengajarkan kita untuk lebih berdikari, mematangkan diri sendiri dan belajar sesuatu yang baharu. Inilah baru dikatakan realiti sebuah kehidupan.
1 Comment
|
PenulisNurnasuha Hashim ArchivesCategories |