Sebut sahaja mengenai TikTok, sudah terbayang video-video lucu dan menarik yang sering menjadi tontonan ramai. Aplikasi ini juga sudah menjadi trend dan menjadi ikutan oleh pengguna di seluruh dunia, lebih-lebih lagi golongan muda. Dengan penyuntingan video di aplikasi TikTok yang mudah dan pendek di mana hanya berdurasi selama 60 saat sahaja, ia sudah cukup untuk memberi ruang kepada pengguna dalam menghasilkan video yang lebih kreatif dan menarik. Namun begitu, terdapat sesetengah pihak yang beranggapan aplikasi TikTok ini membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada diri sendiri dan orang sekeliling. Hal ini kerana, mereka merasakan menonton video di TikTok hanya melalaikan dan banyak masa akan terbuang begitu sahaja. Akan tetapi, jika kita lihat pada hari ini pengguna lebih matang dalam menyampaikan kandungan video yang lebih bermanfaat dan dapat digunakan oleh semua masyarakat seluruh dunia.
Oleh itu, tidak menjadi masalah kepada pengguna tidak kira yang muda mahupun yang tua untuk menggunakan aplikasi TikTok sebagai medium harian. Nur Riadatul Adawiyah, 22, antara salah seorang pengguna aplikasi TikTok yang berasa begitu selesa menggunakan TikTok. Selain mendapat manfaat daripada video yang berilmu beliau juga gemar untuk menyunting video. Maka memang tepatlah pilihan beliau memandangkan aplikasi berkenaan mempunyai proses suntingan video yang mudah dan akan menghasilkan satu video yang lebih menarik dan kreatif. Selain itu, baginya kandungan video yang terdapat di TikTok juga memberikan beliau inspirasi dan dapat mempelajari sesuatu yang baru. Katanya, ramai usahawan muda yang menjalankan perniagaan atas talian berkongsi nasihat dan juga pandangan bagaimana untuk menaikkan jualan, cara mempromosikan produk dengan menarik dan sebagainya. Daripada aplikasi itu, beliau berinspirasi untuk menggunakan tip yang ada untuk diaplikasikan dalam perniagaan kecilnya iaitu menjual Tauhu bergedel untuk menjana pendapatan sampingan sebagai seorang pelajar. Turut dikongsikan oleh salah seorang pengguna NurAdlina Alwani, 19, bahawa beliau lebih tertarik untuk menonton video di TikTok yang berunsurkan motivasi. Hal ini kerana, beliau merasakan perlunya motivasi di dalam kehidupan untuk membantu dirinya itu menjadi manusia yang lebih baik. Tambahnya lagi, kandungan video seperti doa-doa harian juga sangat bagus supaya beliau dapat mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Ada pendidik yang menggunakan medium TikTok secara berinovatif, misalnya pembelajaran Bahasa Inggeris yang diajar oleh seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Cik Syifaa (@ticerfaa). Beliau mempunyai pengikut seramai 103,200 dan mendapat tanda suka sebanyak 487,400. Video yang dihasilkan beliau begitu ringkas dan padat tetapi mudah untuk difahami. Antara kandungan dalam video beliau ialah mengenai tatabahasa, sebutan perkataan, kata nama dan pelbagai lagi. Secara tidak langsung pengguna yang lain dapat belajar dengan cara yang menyeronokkan. Kesimpulannya, terdapat banyak lagi manfaat lain yang pengguna boleh dapat dengan menggunakan aplikasi TikTok sebagai medium harian. Selaras dengan abad ke-21 ini, pembangunan teknologi seperti TikTok ini mampu menarik minat generasi muda untuk mendalami atau berkongsi sesuatu ilmu dengan lebih meluas, lebih kreatif dan santai. Oleh itu, pengguna perlu lebih bijak untuk menggunakan medium seperti ini bagi menyebarkan lebih banyak kebaikan daripada keburukan kepada masyarakat di luar sana.
3 Comments
|