Hari demi hari, kemalangan jalan raya yang meragut nyawa orang awam dengan tragis dan tanpa belas kasihan semakin banyak berlaku berpunca daripada pemandu di bawah pengaruh alkohol, hal ini tidak lagi asing di telinga-telinga masyarakat Malaysia. Tanpa kita sedari, kemalangan ngeri ini sekelip mata mengakibatkan isteri kehilangan suami tercinta, suami kehilangan isteri tersayang dan lebih mendukacitakan anak anak kecil tiada lagi tempat bergantung hidup dan bermanja kasih sayang. Persoalannya, siapakah yang patut dipersalahkan? Apakah tindakan kita sebagai rakyat Malaysia?
Terlalu bahaya, bukan? Tetapi adakah mereka yang mabuk dan memandu ini sedar tentang risiko itu? Secara mudahnya, semakin banyak kuantiti minuman beralkohol yang diambil oleh individu maka semakin tinggi risiko kemalangan jalan raya dan meragut nyawa bakal berlaku dalam keadaan mereka separuh sedar. Nyawa Menjadi Taruhan Angkara pemandu mabuk tergadai nyawa insan tidak bersalah dengan sepantas kilat. Mereka yang memandu dalam keadaan mabuk ini seolah-olah tidak punya hati dan perasaan kerana telah membahayakan dan mengorbankan nyawa orang sekeliling. Malah, lebih mendukacitakan pada akhir bulan Mei lalu negara kita telah mencatatkan empat kemalangan maut secara berturut-turut yang melibatkan kecuaian pemandu mabuk. Menurut sumber berita harian online, salah satu kemalangan maut secara tragis ini berlaku kepada seorang pemandu motosikal. Dia bukan sahaja dilanggar dari arah belakang oleh kereta yang dipandu oleh pemandu mabuk tersebut, bahkan motosikal yang dipandu olehnya diseret dengan laju sejauh dua kilometer. Isu hangat ini telah mendapat perhatian ramai pihak berkuasa sehingga berlaku pindaan undang-undang dalam seksyen 41 hingga 45 bagi Akta Pengangkutan Jalanraya, membabitkan penambahan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.
AWAS, Alkohol Melambatkan Tindak Balas Pemandu! Kesan drastik yang akan terjadi kepada mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol, semestinya akan memperlahankan tindakan refleks pemandu dan sekali gus akan menjejaskan keupayaan pemandu untuk bertindak balas dengan pantas terhadap situasi pemanduan yang berubah-ubah. Alkohol juga akan melambatkan fungsi otot mata, mengubah pergerakan mata dan persepsi visual. Malahan, alkohol mungkin akan mengakibatkan penglihatan pemandu menjadi kabur secara tiba-tiba. Individu yang tidak mabuk pun kadang kala melayang konsentrasinya, apatah lagi jika mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol, pastinya akan mengurangkan fokus dan tumpuan pemandu sehinggakan tanpa mereka sedari pemanduan mereka telah membahayakan nyawa diri sendiri dan orang awam.
Dalam pada itu, undang-undang mestilah dilaksanakan secara tegas dan efektif bagi mengekang masalah pemandu mabuk daripada berterusan berlaku. Tegasnya, sikap masyarakat tidak dapat diubah sekiranya sistem undang-undang yang masih lemah.
7 Comments
|