Oleh: Nurin Nazifa Binti Azman Pada awalnya hanya mencuba nasib, siapa sangka boleh memupuk minat seseorang untuk menceburi sesuatu perkara yang baru dalam hidupnya. Suka saya untuk berkongsi sedikit cerita mengenai sahabat seperjuangan saya yang patut dijadikan contoh atau suri teladan bagi sesiapa yang berminat dan ingin berjinak-jinak untuk menceburi bidang perdebatan. Ayuh kita selami kisah hidupnya. Minat atau mencuba nasib? Beliau mula menceburi bidang perdebatan sejak sekolah menengah ketika di tingkatan 3. Selain itu, beliau juga bergiat aktif menyertai pertandingan pidato dan syarahan Bahasa Melayu. Menurut Nurul Hikmah binti Mohd Derus, 22, beliau berkongsi kisah pada awalnya memasuki pertandingan debat atas sekadar mencuba nasib. Ternyata, bidang ini telah menarik minat beliau. Beliau turut menyatakan beliau tidak lagi menceburi bidang perdebatan kerana terdapat kekangan yang menyebabkan beliau berhenti menceburi bidang ini. Walaupun sudah meninggalkan bidang perdebatan hampir 6 tahun, tetapi ilmunya masih digunakan kerana berkaitan dengan jurusan yang diambil oleh beliau di IPG Kampus Bahasa Melayu. Pengalaman menceburi bidang perdebatan telah memberi impak yang sangat baik dalam kehidupan beliau terutamanya dapat membantu dalam pelajaran beliau yang sekarang. Adakah mengganggu pelajaran? Sengaja saya lontarkan soalan kepada Nurul Hikmah adakah menceburi bidang perdebatan boleh mengganggu pelajarannya. Jawabnya mudah, “Perdebatan tidak mengganggu pelajaran sekiranya bijak mengatur masa. Misalnya saya akan mengutamakan perkara yang menjadi keutamaan dahulu seperti pelajaran, kemudian menfokuskan pada aktiviti kurikulum. Saya juga menyediakan jadual kerja harian untuk memastikan segala latihan dan pelajaran yang lain tidak terabai”. Menurut beliau, ketika sekolah menengah, beliau akan belajar di kelas seperti murid lain pada waktu persekolahan pagi. Kemudian pada waktu petang, beliau akan berlatih bersama ahli debat yang lain untuk membuat persiapan menjelang pertandingan. Peniup semangat Ibu bapa Ibu bapa beliau sangat memberi sokongan kepada beliau dalam bidang ini. Ibu bapa beliau sanggup datang ke tempat pertandingan untuk melihat beliau bertanding di samping memberikan semangat dan sokongan apabila beliau menghadapi sesi latihan. Guru Guru juga memberikan sokongan jitu terutamanya guru Bahasa Melayu. Beliau berpengalaman dalam bidang perdebatan dan banyak membantu beliau dalam memberi idea serta memberi semangat untuk beliau terus berani menceburi bidang ini. Hal ini demikian kerana bidang perdebatan merupakan bidang yang penting dan boleh membentuk jati diri yang berani dan berupaya untuk berfikir kreatif dan kritis dalam apa-apa perkara. Rakan Menurut Nurul Hikmah, rakan-rakan juga menyokong dengan memberi idea atau pandangan berkaitan tajuk perdebatan dan mendengar ketika beliau berlatih menuturkan hujah. Kata-kata yang paling diingati “Debat menjadikan seseorang berani mengutara hujah serta berani bercakap di khalayak ramai dan petah bercakap dengan lancar dan berfokus” katanya. Cabaran Antara cabaran yang beliau kongsikan dalam menceburi bidang perdebatan ialah kekangan masa. Beliau menasihati supaya perlu bijak mengatur masa untuk aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Selain itu, bidang ini memerlukan daya fikir yang mendalam dalam sesuatu tajuk. Hal ini kerana tajuk yang dikaji berkaitan dengan fakta sangat memerlukan pemikiran secara kritis dalam memberikan hujah untuk pihak lawan. Di samping itu, cabaran lain ialah kekurangan idea untuk menolak hujah. Tambahnya, disebabkan perasaan gementar dan takut, fikiran beliau terganggu untuk mencari idea dalam menolak hujah pihak lawan. Kadangkala, hujah yang diberikan adalah di luar jangkaannya. Kelebihan Walaupun bidang perdebatan ini sering dianggap bidang yang agak sukar, namun sedikit sebanyak boleh membantu dalam hal pendidikan. Beliau menyatakan dengan menyertai perdebatan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Sebagai persediaan sebelum bertanding, beliau perlu mencari maklumat berkaitan tajuk perdebatan. Oleh itu, pelbagai maklumat yang ditemui dan menambahkan lagi ilmu dan pengetahuan beliau. Seterusnya, perdebatan memberi kelebihan kepada beliau sebagai seorang bakal guru Bahasa Melayu. Beliau berkata, “Saya boleh melatih murid dalam bidang ini apabila menjadi seorang guru kelak. Tambahan pula, sebagai seorang guru Bahasa Melayu perlu mengetahui berkenaan dengan bidang perdebatan ini” Pencapaian dan anugerah - Pernah menyertai pertandingan debat kebangsaan. - Menjadi pendebat terbaik dalam pertandingan debat peringkat daerah dan zon. - Mendapat johan dalam pertandingan debat di peringkat zon dan daerah.
0 Comments
|
PenulisNurin Nazifa Azman ArchivesCategories |