Ujian yang mendatang akan menjadikan kita lebih kuat dan tabah pada masa hadapan. Jadi tanpa berlengah lagi, ayuh kita telusuri kisah satu susuk tubuh yang boleh dijadikan inspirasi bagi memberikan semangat untuk meneruskan belajar walau berada dalam keadaan yang sukar. Fatin Natasha merupakan mahasiswi tahun empat jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Dia dilahirkan dan dibesarkan di Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Anak ketiga daripada empat beradik ini ternyata memiliki kekuatan bukan sahaja dari sudut fizikal malah juga mempunyai kekuatan mental. Berperwatakan ceria dan sentiasa bersemangat berjaya membuatkan insan di sekelilingnya tidak menyedari hakikat masalah yang sedang dihadapinya. Kisahnya bermula dua tahun yang lalu iaitu ketika berada di tahun dua pengajian. Ibunya telah dimasukkan ke hospital setelah tidak sedarkan diri di rumah. Keluarganya menyangka kemungkinan ibunya hanya keletihan ataupun jet lag setelah pulang daripada menunaikan umrah. Namun sangkaan itu meleset apabila doktor mengesahkan bahawa ibunya menghadapi masalah kegagalan buah pinggang dan kedua-dua organ tersebut sudah tidak berfungsi serta mula mengecut. Perasaannya ketika itu bagai batu menghempas ke bumi apabila mendapat khabar tersebut. Hati mana yang tidak terkesan jika mendengar berita sebegini? Mujurlah pada ketika itu, berbaki beberapa hari sahaja lagi cuti semester akan berlangsung. Dengan kehadiran kakaknya yang kerap pulang ke rumah pada hujung minggu bagi menjaga ibunya sedikit sebanyak mengurangkan kerisauan di hati Fatin. Semasa cuti pertengahan semester sedang berlangsung, hospital bagaikan rumah kedua baginya. Dia menjaga ibunya dengan penuh kesabaran sambil menyiapkan tugasan yang masih berbaki. Fatin akui, keadaan emosi ibunya yang kurang stabil sedikit sebanyak turut memberikan kesan kepada emosinya juga. Tahun berganti tahun, kesihatan ibunya semakin merosot. Doktor memberitahu kegagalan buah pinggang ibunya sudah di tahap 4. Fatin sering dihantui persoalan siapa yang boleh menjaga ibunya. Kakaknya yang kerja jauh, abangnya kerja syif, ayahnya sakit gout yang kritikal serta adiknya yang baru melangkah ke alam universiti membuatkan dia pernah terfikir untuk berhenti belajar dan menjaga ibunya. Tetapi dia berasa sayang untuk meninggalkan pengajiannya kerana masih berbaki dua semester lagi. Dia perlu membuat pilihan di antara pelajaran atau ibunya. Kedua-duanya amat penting dalam kehidupannya, ibarat ditelan mati emak diluahkan mati bapa. Tambahan pula, dunia sedang dilanda wabak COVID-19 membuatkan dia bertambah runsing dan buntu tentang kesihatan ibunya. Langit tidak selalu cerah. Awan tidak selalu mendung. Selepas ujian pasti akan datangnya nikmat. Pengumuman khas daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Mac yang lalu mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mencegah penularan Covid-19 menjadi batu loncatan untuknya. Walaupun berita itu tidak mendatangkan kegembiraan pada orang lain, tetapi baginya ini adalah peluang keemasan untuk dia berada dekat dengan ibunya tanpa meninggalkan pengajiannya. Dia meluahkan rasa syukur kerana Allah tahu apa yang terbaik buat hamba-hambaNya. Benarlah firman Allah, “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”. (Al-Insyirah: 6) Hidup Fatin berubah seratus peratus. Dia belajar untuk menguruskan masa dengan lebih teratur. Disebabkan tubuh ibunya yang lemah serta tidak mahu membebani ibunya, Fatin dengan rela hati mengambil alih tugasan di rumah seperti mengemas, memasak dan sebagainya. Seawal enam pagi dia sudah bangun untuk menguruskan rumah serta menemani ibunya menjalani rawatan dialisis di bilik khas. Rawatan ini kebiasaannya mengambil masa selama 20 minit dan perlu dilakukan sebanyak lima kali sehari bagi membuang segala kekotoran ataupun cairan yang berlebihan di dalam badan ibunya. Walau bagaimanapun, Fatin tidak pernah meninggalkan kelasnya dan dia akan cuba menyertai kelasnya, meskipun dia sedang menemani ibunya membuat rawatan di hospital.
Penulis sangat tertarik dengan satu kisah yang dikongsi olehnya iaitu mengenai Uwais Al-Qarni. Pada zaman Rasulullah SAW, Uwais adalah seorang pemuda Yaman yang sangat taat pada ibunya dan sangat dikenali oleh penduduk langit. Kisahnya yang sanggup menggendong ibunya yang lumpuh pergi ke Madinah, yang jauh beribu batu daripada negeri Yaman untuk menunaikan haji menjadi inspirasi dan memberi pedoman kepada Fatin. Kesimpulannya, hadapilah cabaran dan halangan dengan hati yang sabar, nescaya pasti akan ada pertolongan yang tiba di kemudian hari. Percayalah!
7 Comments
|
PenulisAida Afiqah Nazri ArchivesCategories |