PERNAHKAH terfikir mengapa kita mengangkat tangan dalam solat? Dalam sebuah hadis ada menyatakan satu ketika Imam al-Syafi’i sedang mendirikan solat di sebelah Imam Muhammad bin al-Hassan as-Syaibani. Kemudian Imam al-Syafi’i mengangkat tangannya sebelum rukuk dan ketika bangun daripada rukuk. Imam Muhammad bin al-Hassan as-Syaibani lalu bertanya: “Kenapa kamu mengangkat tangan?” Jawab Imam al-Syafi’i: “Untuk membesarkan Allah, mengikut sunnah Rasulullah dan mengharapkan pahala dariNya.” (Riwayat al-Baihaqi) Hikmah Mengangkat Tangan Ketika Takbiratulihram 1) Tanda mencontohi Nabi Ini merupakan hikmah paling utama bagi umat Islam. Sunat hukumnya mengangkat tangan ketika takbiratulihram. Begitu juga sunat mengangkat tangan ketika hendak rukuk, bangun daripada rukuk dan selepas bangun dari tahiyat awal. Perbuatan ini dinamakan sebagai takbiratul intiqal (perpindahan). Kita dianjurkan untuk mengangkat tangan ketika melakukan beberapa takbir dalam solat. Hal ini dikuatkan dengan sepotong hadis dalam keterangan Ibnu Umar r.a: “Apabila Rasulullah s.a.w. memasuki solat, baginda takbiratulihram dan mengangkat tangannya, ketika hendak rukuk, baginda mengangkat tangan, ketika i’tidal – sami’allahu liman hamidah – baginda juga mengangkat tangannya, dan ketika bangun dari tasyahud awal, baginda mengangkat tangannya.” (Riwayat Bukhari) Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Solatlah sebagaimana kalian melihatku solat.” (Riwayat Bukhari) Terkadang kerana sudah terbiasa mengangkat takbir setiap hari, kita tidak perasan cara kita mengangkat takbir sudah tidak mencontohi Nabi. Terdapat segelintir yang mengangkat takbir seperti hendak bersilat, dalam keadaan tergopoh-gapah dan sebagainya. Cara yang tepat adalah mengangkat tangan dengan tenang sama ada kedua-dua tangan diangkat sehingga setentang dengan dua telinga atau setentang dengan dua bahu. Dalam hadis yang lain, Abdullah bin Umar menceritakan: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. apabila memulakan solat, baginda mengangkat dua tangannya hingga setentang dengan dua bahunya.” (Riwayat Muslim) 2) Tanda melepaskan dunia Mungkin bagi masyarakat Melayu di Malaysia perkara ini jarang diamalkan. Tetapi bagi masyarakat Arab ia merupakan satu kebiasaan yang diamalkan. Apabila mereka ingin melepaskan diri atau menghindarkan dari sesuatu perkara, mereka akan mengangkat kedua belah tangan ke atas. Isyarat tersebut seolah-olah membawa maksud “Cukup! Aku tidak mahu masuk campur. Ini bukan urusan aku!” Begitulah sepatutnya apabila di dalam solat. Sebesar mana pun urusan dunia, ia akan menjadi kecil apabila hendak dibandingkan dengan solat. Misalnya, solat sunat sebelum Subuh jika dilakukan adalah terlebih baik daripada dunia dan segala isinya. Jika solat fardhu, sudah tentu lebih lagi berbanding sunat. Imam an-Nawawi ada menyebutkan pendapatnya: “Ada juga yang mengatakan, itu tanda bahawa dia pasrah dan tunduk. Kerana tawanan ketika kalah, dia mengangkat kedua tangannya sebagai isyarat pasrah. Ada juga yang mengatakan, isyarat ini (takbiratulihram) tanda telah melepaskan semua urusan dunia dan siap untuk menghadap Allah dalam solatnya.” (al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab) 3) Tanda penyerahan diri Dalam solat, kita menyerahkan diri sepenuhnya kepada Maha Pencipta. Penyerahan zahir berlaku ketika kita melakukan segala perbuatan dalam solat, manakala penyerahan batin terjadi apabila kita menghadirkan rasa khusyuk ketika solat. Saya pernah melihat satu video pendek yang tular di media sosial beberapa tahun yang lalu, ketika Palestin dan Syria ditindas dengan amat dahsyat oleh rejim zionis Israel. Pada ketika itu, seorang kanak-kanak perempuan telah mengangkat kedua belah tangannya apabila melihat sebuah objek di hadapannya. Sebenarnya tujuan dia berbuat begitu sebagai tanda menyerah kerana menyangka bahawa objek tersebut adalah senapang yang diacukan kepadanya, walhal sebuah kamera. Perbuatan mengangkat tangan ketika menyerah adalah suatu perkara yang lumrah namun ia amat menyedihkan apabila terjadi dalam situasi seperti yang dinyatakan. Kanak-kanak perempuan tadi merupakan seorang pelarian Syria yang berada di sebuah kem pelarian Turki. Dia sudah terbiasa hidup dengan melihat orang sekeliling dibunuh dan diacukan senjata sehingga menyebabkan dirinya trauma. 4) Tanda membesarkan urusan solat
merupakan pencipta seluruh yang ada di langit dan bumi.
Namun, masih wujud segelintir manusia yang sombong dalam perkara melibatkan solat. Mereka yang memegang jawatan sebagai bos syarikat misalnya, tidak mahu menjadi makmum kepada pekerja bawahannya walaupun pekerja tersebut sangat baik dari segi bacaannya. Situasi lain yang boleh digambarkan, ketika mana seseorang yang mempunyai nama atau jawatan di masjid, disediakan untuk beliau satu tempat khas. Jika jemaah lain berada di situ, pasti menimbulkan ketidakpuasan hati atau disuruhnya jemaah tersebut beredar secepat mungkin. Justeru itu, sifat sebegini mestilah disingkir ketika hendak menghadap Maha Pencipta kerana keimanan dan ketaqwaan seorang hamba Allah bukan dinilai pada harta dan pangkat semata-mata. 5) Tanda solat telah dimulakan Ini khusus untuk takbiratulihram sahaja. Takbiratulihram bermaksud takbir yang mengharamkan. Menurut seorang guru tauliah Agama Jabatan Mufti Negeri Perak, Ustaz Mohamad Rodi bin Ramli menyatakan ia membawa makna mengharamkan semua perbuatan yang lain daripada perbuatan-perbuatan yang mesti dilakukan dalam solat. Tangan yang diangkat ketika itu memberi isyarat kepada orang lain bahawa kita telah memulakan solat. Itulah juga hikmahnya mengapa bahagian solat wanita perlu dibuka sedikit (jika ada tabir) supaya perbuatan imam dapat diketahui oleh jemaah wanita. Akhir kalam, lihatlah betapa indahnya setiap pensyariatan yang ditetapkan dalam Islam. Dalam satu perbuatan sunat sahaja mengandungi rahsia yang sangat hebat yang tidak kita ketahui. Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan orang-orang yang mencintai dan mendirikan solat.
2 Comments
Ali
12/12/2020 07:04:23 pm
Menarik👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻
Reply
Siti
12/12/2020 11:53:27 pm
Perkara yang jarang diambil berat tetapi memberi impak yang besar dalam hidup seorang muslim.. bagus 👍👍👍
Reply
Leave a Reply. |