Oleh: Ahmad Solihin Bin Azalan “9 daripada 10 punca rezeki ialah perniagaan dan ini merupakan sunnah nabi SAW” Tahun 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar apabila virus pandemik Covid-19 yang muncul di China merebak ke seluruh negara. Virus ini bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap kesihatan, malah juga kepada ekonomi dunia. Di Malaysia, pada fasa awal virus ini menyerang dengan aktif, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diperkenalkan bagi mengawal penularan penyakit ini. Sebahagian besar sektor ekonomi diarahkan agar ditutup dan rakyat perlu menjalani kuarantin di rumah masing-masing. Langkah pencegahan penularan yang dibuat ini secara tidak lansung memberi kesan negatif kepada ekonomi rakyat Malaysia terutamanya ketua keluarga dari segi pencarian pendapatan seharian. Menurut laporan Berita Harian oleh Hazwan Faisal Mohamad bertarikh 10 Julai 2020, Malaysia telah menyemak semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Had ini telah dinaikkan daripada RM980 sejak tahun 2005 kepada RM2,208. Maka, dengan kenaikan ini, bilangan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin juga bertambah. Turut menyumbang peningkatan bilangan dalam kategori ini apabila sebahagian besar ketua keluarga diberhentikan kerja dan ada juga yang tidak dapat menjalankan perniagaannya seperti biasa akibat Covid-19 ini. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia perlu bijak untuk mencari peluang pekerjaan atau kerjaya baharu yang sesuai dengan norma baharu ini. PKP telah memunculkan satu fenomena baru di mana laman sosial seperti Whatsapp, Facebook dan Instagram dibanjiri iklan-iklan jualan produk. Rakyat mula sedar bidang keusahawanan merupakan peluang untuk mencari pendapatan sampingan. Golongan muda antara yang banyak menyertai bisnes ini untuk membantu ekonomi keluarga mereka. Di sini, penulis ingin berkongsi pengalaman seorang usahawan yang berjaya untuk dijadikan sumber inspirasi terutamanya kepada sesiapa yang baru ingin menjejakkan kaki dalam bidang ini.
Pencapaian Antara kejayaan terbesar Kak Lynn sepanjang dua tahun menjadi ketua kumpulan atau leader adalah menghasilkan jualan tahunan sebanyak RM50,000 dan menjana komisen sebanyak RM5,000 hingga RM7,000 sebulan. Selain itu, beliau dan ahli kumpulannya seramai 30 orang pernah berjaya mendapatkan hasil jualan kumpulan sebanyak RM 100,000 setahun. Teknik yang digunakan Menurut Kak Lynn, pendapatannya semakin meningkat sejak menyertai bisnes ini kerana banyak alternatif yang memudahkannya menghasilkan jualan. Antara alternatif itu adalah dengan mengiklankan promosi dan produk di laman sosial dan mencari pelanggan dalam kalangan kenalan rapatnya. Cabaran Antara cabaran atau pengalaman pahit beliau sepanjang menempuhi bidang keusahawaan ini ialah mengekalkan prestasi serta momentum ahli kumpulan untuk berjaya dalam perniagaan. Contohnya sewaktu awal karier bisnesnya salah seorang ahli kumpulan terpaksa menarik diri kerana sakit walau sudah mencapai hasil jualan RM 2,000 sebulan. Nasihat Kak Lynn berpesan, untuk mencapai kejayaan dalam bisnes memerlukan ilmu, komitmen dan semangat yang tinggi tanpa mengira usia. Tiada alasan untuk berjaya. Hal ini dibuktikan dengan keterlibatan pelajar sekolah dalam platform ini. Menurut Kak Lynn, berdasarkan pengalamannya, beliau pernah jumpa pelajar berumur 14 tahun dan 15 tahun yang buat jualan dengan ambil tempahan di asrama. Mereka turut dibantu oleh keluarga dalam urusan pembukaan akaun bank dan tempahan. Antara faktor lain yang harus diberi penekanan adalah membina jaringan kenalan yang luas. Lebih banyak jaringan yang berjaya dicapai, lebih tinggi hasil jualan dapat dihasilkan. Sebagai bukti, ramai telah mencapai hasil jualan sebanyak RM 100,000 setahun dan yang paling mengagumkan adalah mencapainya hanya dalam tempoh 3 bulan. Malah, ada master stokis yang telah mencapai hasil jualan sebanyak RM 1,000,000 setahun dan komisennya RM 700,000 setahun. Pesanannya yang terakhir, “Kita kena ingat hadis Nabi SAW bahawa 9 daripada 10 punca rezeki ialah perniagaan dan ini merupakan sunnah nabi SAW. Maka sertailah apa-apa pun perniagaan, asalkan kita mulakan berniaga”. Tambahnya lagi, “Sekarang ramai pekerja yang dibuang kerja dan terpaksa mengganggur disebabkan pandemik. Jadi, bidang perniagaan merupakan salah satu jalan keluar dan kerjaya baharu untuk menjana pendapatan dengan mudah. Pada musim covid-19 ini, kita perlu peka dan ambil peluang kerjaya seperti bidang keushawanan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga kita.”
0 Comments
|
PenulisAhmad Solihin Azalan ArchivesCategories |