Sebelum kita mengetahui lebih lanjut berkaitan tekanan, suka penulis ceritakan serba sedikit tentang apakah itu kemurungan. Kenapa mesti kemurungan? Kerana ia sangat berkait rapat dengan perihal tekanan, dimana punca kemurungan datangnya daripada tekanan. Melalui sebuah portal daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, kemurungan adalah satu gangguan perasaan yang dialami oleh seseorang individu yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih secara berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam apa jua keadaan. Ia boleh berlarutan sekurang-kurangnya dalam 2 minggu. Sebenarnya, penyakit sebegini boleh dihadapi oleh sesiapa sahaja, tidak kira peringkat umur, jantina mahupun bangsa. Kemurungan juga boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Oleh kerana itu, jika kemurungan ini dibiarkan tanpa ada rawatan yang sebaiknya, dikhuatiri akan membawa kepada hal yang lebih serius. Tekanan atau stres ialah merupakan salah satu reaksi tubuh badan (fizikal), pemikiran dan emosi serta tingkah laku yang berlaku akibat dari sebarang perubahan persekitaran yang mendesak seseorang individu itu untuk melakukan tindakan sama ada baik atau buruk. Didalam surah Al Mulk ayat 2 yang mafhumnya, “Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”. Menurut Ibnu Kathir, ayat ini secara jelasnya menceritakan tentang kefahaman adanya kehidupan dan kematian di dunia ini. Oleh kerana itu, Allah menjadikan ujian untuk menguji ciptaan-Nya yang mana lebih baik amalnya. Namun begitu, Allah itu bersifat Maha Pengampun terhadap mana-mana hamba-Nya yang tersilap dalam percaturan hidup, namun bersungguh untuk memperbetulkan kesilapannya. Sebenarnya ada berbagai cara yang boleh kita lakukan dalam mengawal stres. Stres ini boleh dikawal secara bersendiri ataupun melalui bantuan ahli keluarga mahupun rakan-rakan. Seseorang yang mengalami stres boleh mengurangkan stres yang dialami dengan segera dengan cara mengamalkan kaedah 10B. Berikut mengikut portal MyHealth.Gov, 10B itu adalah: 1. Bertenang Setiap kali anda berasa stres atau berasa tegang, cuba untuk bertenang bagi mengurangkan suasana stres negatif pada peringkat permulaan. 2. Bernafas dengan Dalam Bernafas boleh meningkatkan pertukaran oksigen dan karbon dioksida dalam tubuh bagi mengurangkan stres. 3. Berkata Kepada Diri Sendiri Seperti “Bertenang, Rileks, Tak Mengapa”. Berdialog dengan diri sendiri sangatlah penting. Pujuk diri anda dengan ayat yang boleh mengurangkan ketegangan. 4. Beribadat Firman Allah Taala dalam surah Al-Rad, ayat 28 yang bermaksud “(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” Selain solat, berzikir juga dapat mewujudkan keimanan dalam diri kerana “hanya mengingati Allah hati menjadi tenang”. 5. Bercakap dengan Seseorang Jika dengan berdiam diri tidak menyelesaikan masalah, maka carilah seseorang yang anda percayai untuk berkongsi permasalahan yang dihadapi. Mencari seseorang yang tepat adalah sangat penting bagi membantu mengurangi stres yang dihadapi serta dapat meningkatkan self-confident kerana masih ada yang ambil berat tentang anda. 6. Berurut Perasan atau tidak, apabila kita dalam keadaan marah atau stres, bahagian leher dan bahu menjadi tegang. Oleh kerana itu, lakukan urutan bagi melegakan ketegangan otot serta kelancaran saluran darah. 7. Berehat dan Mendengar Muzik Muzik yang dipilih perlulah bersifat lembut dan menenangkan. Alunan muzik yang tidak terlalu bising. 8. Beribadah Aktiviti beriadah juga sememangnya dapat mengelakkan stres. Apabila anda berada diluar rumah, anda dapat berjumpa dengan ramai orang. 9. Bersenam Aktiviti bersenam digalakkan kerana ianya dapat meningkatkan pengeluaran hormone dan dorfin. 10. Berfikiran Positif Sesungguhnya,setiap ujian hidup yang berlaku kepada manusia itu, bukanlah merendahkan martabat seseorang,akan tetapi ianya membuatkan seseorang itu tabah dan kuat serta positif dalam hidup.
0 Comments
|
AuthorNur Nusrah Nasuha binti Mohd Saidi Archives |